Home Diskusi Perolehan pertahanan: Jangan sampai pisang berbuah dua kali

Perolehan pertahanan: Jangan sampai pisang berbuah dua kali

by M.Daim

Demam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) dan pembentukan kerajaan baharu telah pun selesai. Esok, rata-rata barisan Jemaah Menteri yang baharu dilantik mula melakukan ‘clock-in’ pertama ke pejabat masing-masing.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) pula mendapat wajah baharu iaitu Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan. Pelantikan beliau ke salah satu kementerian yang kritikal sudah tentu membawa cabaran tersendiri kepada Tok Mat. Ini lebih-lebih lagi dengan melihat MINDEF merupakan portfolio pertama yang dipegang oleh beliau dalam kemunculan ulung di peringkat kerajaan Persekutuan.

Sudah tentu, terlalu banyak perkara yang akan menanti beliau lebih-lebih lagi pelbagai isu yang timbul terutamanya melibatkan kekuatan dan tingkat upaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Hampir lebih satu dekad, isu perolehan pertahanan seringkali mendapat tumpuan dan tidak kurang juga diadili secara umum di media (trial by media).

TLDM semenjak akhir-akhir ini telah menyuarakan keperluan dan keadaan semasa aset mereka kepada umum.

Bibit kata-kata seperti “Kita mahu berperang dengan siapa” dan “Untuk apa beli aset tentera” adalah antara perkara yang seringkali timbul apabila perolehan pertahanan diumumkan. Tidak kurang juga ada yang mengambil langkah yang lebih berani dengan memperkecilkan kemampuan anggota ATM dalam menjalankan tugas untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Ironiknya, apabila sesuatu kejadian buruk berlaku, timbul pula suara yang mempersoalkan “Kemanakah aset kita?” dan tak kurang juga dengan tanpa segan silu bertanyakan “Kenapa aset pertahanan tidak diambil perhatian?”

Ada kalanya trial by media  ini telah menjadi urban legend sehinggakan anggota ATM terpaksa menghadap soalan sama yang telah pun berusia melebihi 10 tahun.

Mahu tidak mahu, perkara ini perlu dilihat sebagai salah satu cebisan realiti yang sedang menggigit dunia pertahanan tanah air.

Beberapa perolehan sebelum ini sama ada tertangguh atau tidak dilaksanakan dengan baik telah pun mula memberikan kesan kepada postur pertahanan tanah air.

NGPV dan LCS

Contoh paling mudah, projek New Generation Patrol Vessel (NGPV) sebelum ini dihasratkan untuk ganti kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berusia. Secara spesifik, sebanyak 27 buah perolehan kapal ini dirancang pada tahun 1990. Rancangan awal adalah bagi menggantikan 21 kapal jenis Patrol Craft dan 6 kapal ronda laju (FAC) yang berusia 25 tahun pada tahun 2000.

Namun begitu, daripada 27 buah kapal dirancang, hanya 6 sahaja yang berjaya direalisasikan.  Dan kapal-kapal yang dirancang untuk digantikan oleh NGPV masih lagi diantaranya beroperasi sehingga kini.

Perolehan 4 kapal LMS dari China telah pun lengkap. Perolehan ini merupakan sebahagian daripada pelan strategik 15-to-5.

Ketika kita mampu untuk mendabik dada kejayaan perolehan lengkap 4 buah Littoral Mission Ship (LMS), kapal kelas Maharaja Lela (Littoral Combat Ship, LCS) menerima nasib yang berbeza. Sehingga kini, umum telah mengetahui perolehan kapal ini terganggu dan tiada satu kapal pun telah siap mahupun beroperasi.

Kepincangan perolehan LCS umpama luka lama berdarah kembali buat TLDM sehingga terpaksa memikirkan jalan lain untuk memastikan armada mereka sentiasa siaga dalam melaksanakan amanah dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Pun begitu, pendedahan dan demi pendedahan dikhuatiri telah membuka serba sedikit spesifikasi khusus peralatan yang sepatutnya dilengkapkan pada LCS. Mahu tidak mahu, projek LCS terpaksa diteruskan kerana ia merupakan komponen penting perancangan 15-to-5. Akan tetapi, ia akan memakan masa untuk beberapa tahun. 

Tambahan pula, keadaan semasa aset TLDM amat merungsingkan kerana dijangka kekuatan kombatan angkatan laut negara adalah terlalu sedikit. Realiti ini walaupun pahit, tetapi ianya terpaksa ditelan memandang perkara ini telah dinyatakan oleh kedua-dua markas armada TLDM – baik di Armada Timur mahupun Armada Barat.

Pada ketika ini, TLDM dilihat secara vokal dalam menyuarakan apa yang berlaku dalam kekuatan armada mereka terutamanya dengan melihat hasil pelaksanaan Eksesais Kerismas 27/2022. Selain itu, pasukan pertahanan laut negara turut menyuarakan keperluan mereka untuk mendapatkan LMS Batch 2 dengan kadar segera. Ini melihat keperluan semasa yang begitu genting. Sehingga kini, perolehan LMS dilaporkan telah dimajukan kepada Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU).

LCA/FLIT dan F/A-18 Kuwait

Buat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula, perancangan Capability 2055 (CAP55) telah pun mengharungi fasa yang pertama. Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan sebelum ini telah pun mengumumkan keputusan perolehan Pesawat Rondaan Maritim (MPA) dan Pesawat Tanpa Pemandu UAV.

Masa hadapan pesawat Hawk 108/208 telah ditentukan. Namun, apakah status perolehan LCA/FLIT pada ketika ini? Foto: Air Times/ M Daim

Apa yang dinantikan pada ketika ini adalah keputusan perolehan Light Combat Aircraft/Fighter Lead-In trainer (LCA/FLIT) bagi memastikan kekuatan taring utama TUDM dapat diperkasakan dengan sebaiknya. Sebelum ini, keputusan perolehan pesawat itu sepatutnya telah diketahui pada Ogos 2022 akan tetapi masih belum dimuktamadkan. Namun begitu, laporan oleh media Bahasa Inggeris tempatan menyatakan perolehan pesawat ini terganggu dengan laporan polis serta SPRM yang mendakwa proses tender tidak dipatuhi.

Sama ada LCA/FLIT dapat direalisasikan dalam masa terdekat, itu terpulang kepada kebijaksanaan pihak berwajib.

Perolehan LCA/FLIT adalah dirancang untuk menggantikan peranan beberapa buah jenis pesawat yang sedang dioperasikan (BAE Hawk 108/208) dan juga yang telah ditamatkan khidmatnya termasuk MiG-29N serta Aermacchi M-346.

MiG-29N mencatatkan lagendanya yang tersendiri dan pernah berentap dengan F-22 Raptor semasa Eks Cope Taufan 2014. Foto: USAF/Tech. Sgt. Jason Robertson

Sedar atau tidak, ketiadaan MiG-29N di ruang angkasa tanah air bukanlah sesuatu yang baharu. Mungkin ada yang berharap pesawat yang pernah menggemparkan Asia Tenggara ini kembali membuat kemunculannya semula. Secara realiti, pesawat ini tidak lagi akan kembali ke angkasa kerana MiG-29N dirancang untuk dilupuskan selepas lebih 7 tahun tidak diterbangkan.

Pada ketika ini, beban taring udara negara masih lagi dipikul oleh Hawk  108/208, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM.

Dari segi usia, Hawk dan F/A-18D telah dioperasikan semenjak pertengahan 1990-an manakala Su-30MKM pula pada tahun 2007.

Khidmat pesawat Hawk dijadualkan akan tamat pada tahun 2027. F/A-18D pula dijadualkan akan menjalani program tingkat upaya dan sustainment programme dengan peruntukan sebanyak RM 2.4 bilion. Ini bagi memastikan khidmat pesawat tersebut dapat diteruskan sehingga ke tempoh RMK-13 bersama Su-30MKM.

Sebelum lahirnya CAP55, perolehan Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) pernah dilakukan pada dekad yang lalu dengan bermatlamat untuk memiliki 3 skuadron (36-40 buah pesawat). Akan tetapi, program perolehan ini tidak berjaya direalisasikan atas sebab tertentu

Khidmat F/A-18D Hornet dirancang untuk diteruskan sehingga ke tempoh RMK-13/ Foto: Air Times/M Daim

Disebalik perolehan jet pejuang baharu untuk TUDM, perolehan F/A-18 dari Kuwait turut mencuri tumpuan kerana jumlah yang diperlukan agak besar bagi mengisi kekosongan (gap) pada kekuatan TUDM. Apa yang diketahui setakat ini adalah surat niat telah diajukan kepada Kuwait dan terdapat perbincangan peringkat awal antara Malaysia dan Kuwait berhubung perolehan F/A-18 dari negara Timur Tengah itu.

Namun, perkara ini bukan mudah untuk direalisasikan kerana ia perlu menempuh saluran diplomasi dan tidak kurang juga mendapat kelulusan daripada Washington memandangkan F/A-18 termaktub sebagai barangan terkawal Amerika Syarikat. Melihat senario ini, kerajaan Malaysia sudah tentu perlu menyediakan ‘Contigency Plan’ sekiranya perolehan dari Kuwait gagal direalisasikan.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=_XBUyel7kvk[/embedyt]

Perolehan pesawat dari negara lain bukanlah sesuatu yang baharu. Indonesia yang sebelum ini dilaporkan melakukan perolehan Rafale dan F-15 turut membeli 12 buah pesawat Mirage 2000-5 daripada Qatar.

Kemanakah hala tuju seterusnya?

Apa yang dinukilkan oleh penulis adalah berdasarkan pemerhatian terhadap senario dunia pertahanan tanah air lebih daripada 10 tahun berlalu. Aset usang dan berusia bukanlah satu perkara yang perlu diambil mudah kerana ia melibatkan nyawa anggota tentera dan juga rakyat Malaysia.

Tambahan pula, senario geopolitik semasa pada ketika ini seringkali berubah. Malaysia sebenarnya tidak terlepas daripada limpahan konflik antarabangsa dan juga pencerobohan oleh negara luar. Oleh itu, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam isu perolehan pertahanan.

Penangguhan dan kegagalan perolehan tertentu sebelum ini telah memberikan kesan yang begitu negatif kepada pasukan pertahanan tanah air.

Adakah Bajet 2023 akan dibentangkan semula di parlimen? Apakah perubahan yang akan berlaku terhadap belanjawan pertahanan negara?

Memandangkan kerajaan baharu telah pun tertubuh, persoalan yang turut diberikan perhatian adalah sama ada Bajet 2023 dibentangkan semula? Sekiranya ia perlu dibentangkan semula, persoalan seterusnya adalah apakah impaknya kepada postur pertahanan tanah air?

Ini kerana postur pertahanan semasa memberikan kesan tersendiri kepada kelangsungan negara terutamanya dengan melihat apa yang berlaku dalam beberapa konflik global termasuk Perang Ukraine-Rusia. Suasana yang aman semasa belum tentu menjamin bahawa Malaysia akan terlepas dari konflik pada masa hadapan.

Bagi menghadapi cabaran masa hadapan, ATM dan MINDEF sudah tentu mempunyai perancangan serta percaturannya yang sendiri. Ini bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa dipertahankan dalam apa jua keadaan.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=ALbKTPUGlLY[/embedyt]

Kedudukan Malaysia di laluan strategik global sudah tentu menuntut kebijaksanaan Putrajaya dalam mengimbangi pengaruh kuasa besar di rantau ini melalui saluran diplomasi. Namun, keupayaan diplomasi hanya berkesan sekiranya ia diimbangi dengan kekuatan ATM sentiasa di berada tahap yang terbaik kerana ia adalah salah satu faktor yang berpengaruh di meja rundingan. Ini perkara ini sememangnya berkait rapat dengan apa yang pernah diucapkan oleh Presiden Amerika Syarikat ke-26, Theodore Roosevelt yang berbunyi, “Speak softly and carry big stick, you will go far”.

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=XoL_0Jmq1Pk[/embedyt]

MINDEF sebelum ini sudah pun menyuarakan keperluan belanjawan pertahanan sebanyak 1.5 peratus. Sama ada ia akan dipenuhi atau tidak – itu bergantung kepada pihak kerajaan. Pada ketika ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun menyatakan isu kos sara hidup dan ekonomi akan menjadi tumpuan kerajaan pimpinan beliau.

Mungkin isu perolehan pertahanan akan diimbangi dengan kedua-dua isu tadi kerana kerajaan perlu membuat keputusan dengan lebih berhati-hati seperti menarik rambut di dalam tepung.

Related Articles

Leave a Reply