Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melangkah setapak lagi usia apabila meraikan ulangtahun penubuhan yang ke-66.
Dengan tema sambutan ‘Kuasa Udara Perisai Kedaulatan Negara’, ia menterjemahkan apa peranan hakiki angkatan udara negara baik pada masa aman apatah lagi jika berlaku konflik.
‘Kuasa Udara’ itu sendiri merupakan petunjuk bahawa TUDM mahu dilihat sebagai angkatan dengan satu kekuatan dominan.
Ini bertepatan dengan asas dalam teori kuasa udara sebagaimana yang dicetuskan oleh pemikir strategis udara, General Giulio Douhet lebih 90 tahun lalu.
Teori kuasa udara yang dibangunkan antara perang dunia, adalah idea bahawa kuasa udara boleh menjadi penentu dalam peperangan.
Memiliki kuasa udara yang jitu bagi sesebuah negara adalah penting kerana ia tidak terhad sebagai strategi dalam pertempuran tetapi juga menjadi instrumen mencegah ancaman.
Salah satu kelebihan kuasa udara adalah keupayaannya untuk melepasi banyak halangan dan menyerang terus kepada sasaran penting.
Sehubungan itu, pemilikan aset-aset udara moden dan berkeupayaan tinggi adalah amat perlu untuk memastikan kuasa udara yang dimiliki adalah sejajar dengan keupayaan teknologi terkini.
Dalam konteks TUDM, ia perlu memiliki keupayaan yang boleh menggerunkan musuh atau setidak-tidaknya setanding dengan negara serantau agar ia mampu menjaga ‘Kedaulatan Negara’.
Justeru apabila membincangkan tentang hal ini, tidak dapat tidak kita akan menyentuh cerita terbaharu tentang hasrat TUDM untuk memiliki pesawat pejuang terpakai dari negara Timur Tengah.
Mula diperkatakan sejak tujuh tahun lalu, kini cadangan agar TUDM mendapatkan pesawat pejuang F/A-18 Hornet dari Kuwait timbul kembali.
Ini juga merupakan cerita yang menjadi perdebatan dalam kalangan peminat ketenteraan negara khususnya di alam maya sehingga pelbagai teori mengapa atau tidak Hornet Kuwait dimiliki.
Tidak dinyatakan secara spesifik tetapi difahamkan TUDM akan menubuhkan satu kumpulan teknikal untuk dihantar ke Kuwait bagi melakukan tinjauan.
Hanya selepas lawatan itu barulah kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan TUDM akan memutuskan bilangan pesawat Hornet yang ingin diperoleh.
Secara umumnya tiada penjelasan terperinci mengapa pesawat Hornet terpakai menjadi pilihan TUDM, sama ada untuk mencukupkan bilangan sedia ada atau dibeli menjadi alat ganti.
Daripada segi usia, Hornet Kuwait lebih lama beberapa tahun berbanding milik TUDM.
Kuwait mengoperasikan 40 buah pesawat F/A-18 Hornet pada 1994 meliputi varian C (satu tempat duduk) dan D (dua tempat duduk).
Jika dibeli sebagai stop gap sebelum TUDM memperolehi pesawat pejuang baru, persoalannya mengapa tidak beli sahaja aset baharu?
Bagi berlaku adil, langkah mendapatkan pesawat pejuang terpakai bukanlah asing pada kebanyakan negara, malah konflik di Ukraine sendiri menyaksikan pesawat-pesawat terpakai beraksi untuk menangkis ancaman Rusia.
Penggunaan dalam situasi perang seperti itu memperlihatkan bagaimana faktor usia pesawat tidaklah memainkan peranan besar sekiranya pesawat tersebut beroperasi mengikut keupayaannya.
Sebagai stop gap juga perolehan pesawat pejuang terpakai menjimatkan kantung kerajaan.
Cuma persoalannya di sini ialah mengapa kerajaan tidak memberikan sahaja lampu hijau supaya TUDM membeli sahaja pesawat pejuang baharu yang boleh dioperasikan sehingga 20 hingga 30 tahun lagi.
Kali terakhir TUDM memperolehi pesawat terpakai ialah pada 1984 dengan pesawat A-4 PTM Skyhawk milik Amerika Syarikat dan tempoh perkhidmatannya hanya bertahan sehingga 10 tahun.
Pada 1994 keseluruhan pesawat telah ditarik balik dari perkhidmatan, manakala pesawat baru MiG-29N (diperolehi 1995) dan F/A-18D Hornet (diperolehi 1997) beroperasi sehingga 20 tahun.
Jika benar TUDM mahu menjadikan kuasa udara sebagai perisai kedaulatan negara, memilih pesawat-pesawat terpakai mungkin bukan pilihan yang sesuai.
Dengan diberikan peruntukan yang cukup oleh kerajaan, TUDM wajar melihat banyak pesawat-pesawat pejuang sedia ada di pasaran yang difikirkan menepati dengan objektif operasi dan keupayaannya sebagai perisai negara.
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Kolumnis