Home Diskusi Kolumnis: Perolehan 2 kapal induk PDRM, 4 helikopter APMM perkasakan keselamatan negara

Kolumnis: Perolehan 2 kapal induk PDRM, 4 helikopter APMM perkasakan keselamatan negara

by Zaki Salleh

Dua perolehan besar yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 minggu lalu menunjukkan komitmen untuk memperkasa keselamatan negara.

Perolehan tersebut ialah pembelian kapal pengangkutan Kelas Policy Transport Vessel Pelbagai Kegunaan sebagai pengangkutan barang, kapal induk (mother ship) dan latihan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Cuma kontrak yang dianugerahkan kepada Labuan Shipyard Engineering Sdn. Bhd. ini tidak dinyatakan nilainya.

Turut diumumkan ialah perolehan empat buah helikopter saiz sederhana bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. diberikan kontrak tersebut yang bernilai RM529 juta.

Keseluruhannya KDN telah menandatangani 14 kontrak dengan syarikat tempatan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM2.156 bilion.

Nilai pembelian atau kontrak kepada PDRM sahaja sebanyak RM1.5 bilion termasuk perolehan kamera badan.

Pembelian kapal induk untuk Pasukan Polis Marin (PPM) ini sebenarnya bukanlah keperluan baharu kerana cadangan untuk membeli ini aset ini telah lama dibincangkan.

PPM memerlukan kapal induk iaitu kapal besar yang juga boleh membuat tugas penguatkuasaan dan berada di kawasan perairan negara lebih lama.

Ini membolehkan bot dan kapal-kapal kecil yang membuat tugas meronda mengambil bekalan makanan atau minyak di kapal induk tanpa perlu kembali ke pangkalan.

Pengoperasian kapal induk ini boleh ditempatkan di kawasan kritikal khususnya membabitkan jenayah maritim.

Difahamkan ketika ini PPM memiliki 190 buah kapal dan bot termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengawasi kira-kira 2,000 kilometer (km) kawasan pesisir pantai.

Tender perolehan kapal induk ini telah dibuat pada Oktober 2022 yang mana PDRM menawarkan tender untuk dua buah kapal sepanjang 60 meter.

Ciri-ciri asas pada kapal adalah boleh membawa kenderaan seperti trak, land rover dan bot RHFB selain membawa kontena untuk operasi khusus.

Kapal induk ini juga boleh melaksanakan rondaan di kawasan perairan termasuk dalam Zon Ekonomi Ekslusif negara bagi menguatkuasakan undang-undang di laut.

Fungsi lain kapal ialah untuk melaksanakan operasi cegah penyeludupan, kemasukan pendatang, pencerobohan nelayan asing, menjadi kapal induk serta operasi mencari dan menyelamat.

Kontrak perolehan empat buah helikopter AW189 ini adalah susulan penganugerahan surat setuju terima (LOA) kepada syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. (Galaxy Aerospace) Januari lalu.

Empat buah helikopter saiz sederhana ini dipilih berdasarkan kesesuaian serta fungsi yang bakal dilaksanakan.

Menerusi kontrak ini, pihak Galaxy Aerospace akan membekalkan pesawat lengkap dengan kelengkapan peralatan misi untuk menyokong operasi APMM.

Pesawat dengan berat sehingga 8.6 tan ini dilengkapi dengan enjin Safran Aneto-1K baharu serta berkeupayaan melaksanakan penerbangan selaju 294km/sejam

Perolehan helikopter AW189 dapat memenuhi keperluan APMM bagi mempertingkatkan pemantauan udara serta melaksanakan operasi mencari dan menyelamat untuk jarak dan masa  yang panjang.

Aset udara APMM ketika ini berjumlah enam pesawat iaitu dua buah AW139, helikopter AS365 N3 Dauphin (tiga) dan sebuah pesawat udara Bombardier CL-415 MP. – airtimes.my

#AirTimes #Keselamatan #PDRM #MaritimMalaysia

Related Articles

Leave a Reply