LUMUT, 15 Jan – Lumut Naval Shipyard (LUNAS) telah menyerahkan secara rasmi KD KASTURI kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung pada Rabu.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi LUNAS, Komander (B) Jal Shazidi Bassari, bersama Ketua Bahagian Baik Pulih Kapal LUNAS, Komander (B) Syed Ahyattudin Shid Idris.
Kapal berkenaan telah diterima secara rasmi oleh Panglima Logistik Barat TLDM, Laksamana Pertama Ts. Shaiful Bahri Baharuddin.
Menurut LUNAS, KD KASTURI telah menjalani program penyelenggaraan dan baik pulih (REFIT) secara menyeluruh di LUNAS bagi memastikan ianya lengkap dan berupaya untuk melaksanakan operasi.
“Program ini melibatkan peningkatan keupayaan kapal, serta penambahbaikan komprehensif untuk mengoptimumkan prestasi, meningkatkan kesiagaan operasi dan memanjangkan jangka hayat perkhidmatan kapal,
“Penyerahan ini mencerminkan komitmen LUNAS dalam memastikan aset-aset TLDM diselenggara dengan standard tertinggi dari segi kualiti, kebolehpercayaan, dan profesionalisme,” jelas pihak LUNAS dalam hantaran di media sosialnya.
Program REFIT KD Kasturi telah dijalankan sejak 2021 yang lalu.
Dengan kejayaan program REFIT ini, KD KASTURI kini bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan operasi di laut, sekaligus memperkukuhkan keupayaan pertahanan maritim negara.-airtimes.my
#TLDM #baikpulih #LUNAS #airtimes #pertahanan