Home Pertahanan dan KeselamatanTentera LautLaksamana Madya Badarudin Taha dilantik Timbalan Panglima TLDM ke-25

Laksamana Madya Badarudin Taha dilantik Timbalan Panglima TLDM ke-25

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 JAN – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyaksikan peralihan kepimpinan penting apabila Laksamana Madya Badarudin Taha secara rasmi dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Laut ke-25 dalam satu majlis yang berlangsung di KD Sri Gombak, semalam.

Majlis berkenaan turut melibatkan serah terima tugas Panglima Latihan dan Doktrin TLDM serta pemakaian pangkat Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai Pasukan Simpanan Sukarela TLDM yang dinaikkan pangkat.

Majlis tersebut disaksikan oleh Panglima Tentera Laut merangkap Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain bersama ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM serta warga TLDM.

Serah terima tugas Timbalan Panglima Tentera Laut disempurnakan antara Laksamana Madya Badarudin dan Laksamana Madya Shamsuddin Ludin. Pada masa sama, jawatan Panglima Latihan dan Doktrin TLDM diserahkan oleh Laksamana Muda Abd Halim Shaari kepada Laksamana Muda Mohd Razib Tahir.

Sebelum itu, Panglima Tentera Laut selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera telah menyempurnakan pemakaian pangkat Laksamana Madya kepada Badarudin, yang sebelum ini memegang pangkat Laksamana Muda.

Badarudin merupakan anak kelahiran Bagan Datuk, Perak dan menyertai TLDM pada 4 Julai 1988 sebelum ditauliahkan sebagai pegawai pada 30 Jun 1990.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang beberapa jawatan strategik termasuk Pengarah Kanan Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Ketua Pengurusan Maktab Turus Angkatan Tentera serta Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut.

Majlis sama turut menyaksikan kenaikan pangkat beberapa Pegawai Kanan TLDM dan Pegawai PSSTLDM sebagai sebahagian daripada kesinambungan pembangunan kepimpinan perkhidmatan tersebut.

Pelantikan dan kenaikan pangkat ini mencerminkan usaha berterusan TLDM dalam memperkukuh struktur kepimpinan serta kesiapsiagaan organisasi bagi menghadapi cabaran keselamatan maritim semasa. – airtimes.my

#AirTimesNews #PertahananKeselamatan #TLDM #ATM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply