Home Pertahanan dan Keselamatan Pembatalan misil NSM: Tuntutan RM1 bilion masih berjalan

Pembatalan misil NSM: Tuntutan RM1 bilion masih berjalan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 9 JUN – Kementerian Pertahanan menegaskan tuntutan RM1 bilion terhadap sebuah syarikat susulan pembatalan sebelah pihak lesen eksport dan kontrak perolehan sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih berjalan walaupun kementerian menerima permintaan untuk mengadakan perbincangan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa surat daripada syarikat terbabit sudah diterima, namun sebarang pertemuan belum berlangsung setakat ini.

“Kita memang ada terima permintaan daripada syarikat untuk berbincang. Apa pun, tuntutan kita masih berjalan,” katanya ketika ditemui media selepas program Anugerah Kecermelangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya belum mengetahui perkara yang mahu dibincangkan oleh syarikat berkenaan kerana pertemuan masih belum diadakan.

“Kita belum jumpa. Kita tidak tahu apa yang dia mahu bincang, tetapi kita ada terima surat daripada syarikat,” katanya.

Dalam sidang media sama, Menteri Pertahanan turut menyentuh usaha kebajikan pendidikan anak warga ATM melalui Yayasan LTAT.

Beliau berkata, pendidikan menjadi antara bidang utama dalam agenda kesejahteraan anggota ATM kerana ia memberi kesan langsung kepada keluarga mereka.

Menurut beliau, kesejahteraan anggota serta keluarga dilihat sebagai faktor penting yang menyokong kesiapsiagaan ATM dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga kedaulatan negara.

Selain itu, MINDEF turut melaksanakan program tuisyen dalam talian untuk anak warga ATM yang tidak bersekolah di dalam kem dengan bantuan komputer riba kepada peserta terlibat.

Ujarnya lagi, program itu sudah memasuki tahun ketiga dengan lebih kurang 900 pelajar menyertainya setiap tahun. -airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)kebajikan anggota ATMMenteri PertahananMINDEFpendidikan anak ATMtuntutan RM1 bilionYayasan LTAT

Leave a Reply