KUALA LUMPUR, 24 JUL – Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah mengeluarkan Notice of Demand menuntut EUR226.1 juta (kira-kira RM1.05 bilion) daripada syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) susulan pembatalan kekal lesen eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) oleh Kerajaan Norway, bagi program Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tuntutan itu meliputi pembayaran yang telah dibuat oleh kerajaan serta kerugian langsung dan tidak langsung yang ditanggung susulan kegagalan penghantaran sistem berkenaan.
“Dari sudut perundangan, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan Notice of Demand kepada KDA pada 18 Mei 2026 dengan tuntutan berjumlah EUR226.1 juta meliputi pembayaran yang telah dibuat serta kerugian langsung dan tidak langsung yang ditanggung kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian, dalam jawapan bertulis di Dewan Negara bagi menjawab pertanyaan Senator Tuan Robert Lau Hui Yew mengenai status perolehan NSM, tindakan kerajaan mendapatkan semula dana awam serta langkah memastikan kesiapsiagaan operasi TLDM tidak terjejas.
Menurut Khaled, Malaysia sepatutnya menerima sistem peluru berpandu antikapal itu pada Mac 2026. Bagaimanapun, MINDEF dimaklumkan pada 4 Februari 2026 bahawa Kerajaan Norway telah menggantung lesen eksport sistem NSM ke Malaysia.
“Pada 22 April 2026, KDA memaklumkan bahawa pembatalan eksport oleh Kerajaan Norway adalah bersifat kekal. Akibatnya, sistem NSM tersebut tidak dapat dieksport ke Malaysia,” katanya.
Beliau menjelaskan, dari sudut diplomatik, Perdana Menteri telah mengutus surat kepada Perdana Menteri Norway pada 27 April 2026 bagi mendapatkan penjelasan berhubung keputusan tersebut. Menteri Luar turut menghubungi rakan sejawatannya di Norway pada 29 April bagi membincangkan perkara sama.
Selain itu, Perdana Menteri turut menghubungi Perdana Menteri Norway melalui panggilan telefon pada 11 Mei 2026 bagi menyatakan kekecewaan Malaysia serta menggesa supaya keputusan itu diteliti semula. Pada 31 Mei 2026, Menteri Pertahanan turut membangkitkan isu berkenaan secara bersemuka dengan Menteri Pertahanan Norway semasa pertemuan di Singapura.
Khaled berkata, Kerajaan kini terus mendesak Norway melalui saluran diplomatik supaya bertindak sebagai pengantara dalam mencari penyelesaian yang adil antara Malaysia dan KDA.
Mengulas lanjut, selaras dengan nasihat Jabatan Peguam Negara, kerajaan akan terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian secara baik (amicable solution) dengan KDA sebelum tindakan lanjut diambil.
“Rundingan pertama dijadualkan berlangsung pada pertengahan Ogos 2026 bagi membincangkan obligasi kontrak, tuntutan kerajaan serta langkah penyelesaian yang sesuai,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memastikan kesiapsiagaan operasi TLDM tidak terjejas, Kementerian Pertahanan bersama TLDM sedang melaksanakan penilaian segera terhadap beberapa sistem peluru berpandu Surface-to-Surface Missile daripada pengeluar lain sebagai pengganti kepada NSM.
Menurut beliau, penilaian itu merangkumi aspek keserasian integrasi dengan Combat Management System kapal-kapal LCS, tempoh penghantaran, kos perolehan serta tahap keupayaan operasi yang setanding atau lebih baik daripada sistem NSM.
Kementerian menegaskan komitmennya untuk memastikan keupayaan tempur TLDM terus dipelihara tanpa menjejaskan kepentingan pertahanan negara. – airtimes.my
