Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan Jambatan Taktikal TDM ikut jadual, dijangka diterima pada 2028

Perolehan Jambatan Taktikal TDM ikut jadual, dijangka diterima pada 2028

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 17 JULAI – Kementerian Pertahanan memaklumkan perolehan Sistem Jambatan Taktikal bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang dilaksanakan mengikut jadual, dengan aset itu dijangka diterima pada April 2028.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek tersebut merupakan antara perolehan yang diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Tahun 2024 dengan siling peruntukan sebanyak RM280 juta.

Menurut Mindef, perolehan itu dilaksanakan menerusi kaedah tender terbuka selaras dengan tatacara serta peraturan perolehan kerajaan yang sedang berkuat kuasa.

“Pada masa ini, projek sedang dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dan dijangka Tentera Darat menerima aset tersebut pada April 2028,” kata Khaled dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, yang meminta Menteri Pertahanan menjelaskan status perolehan Sistem Jambatan Taktikal Tentera Darat Malaysia serta sama ada siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan berkaitan proses perolehan.

Menurut Khaled, keseluruhan proses perolehan telah dilaksanakan oleh Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan mengikut tatacara, peraturan serta pekeliling kerajaan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, Tentera Darat sebagai pengguna akhir (end user) tertakluk kepada proses tersebut dan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap sebarang aduan atau dakwaan berkaitan urusan perolehan.

Katanya, sebarang siasatan atau tindakan lanjut berhubung isu berkenaan adalah tertakluk kepada pihak berkuasa serta mekanisme yang diperuntukkan di bawah peraturan kerajaan.

Sistem Jambatan Taktikal merupakan aset kritikal Tentera Darat yang digunakan bagi menyokong operasi ketenteraan serta misi bantuan bencana, termasuk membolehkan pergerakan anggota dan aset merentasi halangan seperti sungai atau kawasan yang terputus hubungan. – airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera MalaysiaBeritaKementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF)Rejimen Askar Jurutera DirajaTentera Darat Malaysia

Leave a Reply