PUTRAJAYA, 15 JULAI – Jabatan Imigresen Malaysia mendapati kesemua 266 warga asing dari 40 negara yang diperiksa dalam satu operasi naziran di sebuah komuniti antarabangsa di Forest City memiliki dokumen imigresen yang sah.
Jabatan Imigresen dalam kenyataan memaklumkan bahawa semakan awal terhadap rekod semasa tidak menemukan masalah berkaitan kesahihan dokumen imigresen milik individu yang diperiksa.
“Bagaimanapun, semakan serta siasatan lanjut masih diteruskan bagi memastikan semua warga asing berkenaan mematuhi syarat kemasukan ke negara ini.
“Siasatan itu turut merangkumi pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.
Menurut jabatan berkenaan, setiap kemasukan warga asing ke Malaysia tertakluk kepada peruntukan undang-undang imigresen yang sedang berkuat kuasa.
“Pemeriksaan di pintu masuk negara dilaksanakan berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, semakan pangkalan data berkaitan serta rekod penguatkuasaan yang tersedia ketika pemeriksaan dibuat.
“JIM akan menjalankan siasatan lanjut terhadap mana-mana perkara yang menimbulkan keraguan atau sekiranya terdapat maklumat baharu berkaitan penyalahgunaan identiti, dokumen perjalanan, kemudahan imigresen atau pelanggaran syarat pas yang dikeluarkan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban menegaskan bahawa jabatan berkenaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Jabatan Imigresen akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh,” ujarnya.
Jelasnya lagi, langkah itu dilaksanakan bagi memelihara keselamatan, kedaulatan serta kepentingan negara, sementara siasatan terhadap isu Network School berkenaan masih berjalan.
Operasi tersebut telah dilaksanakan bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). -airtimes.my
