Home Pertahanan dan KeselamatanKolumnis: Krisis NSM dedah kelemahan perancangan awal projek LCS

Kolumnis: Krisis NSM dedah kelemahan perancangan awal projek LCS

Krisis pembatalan misil NSM oleh Norway mendedahkan kelemahan perancangan awal projek LCS yang tertangguh bertahun-tahun, sekali gus menuntut reformasi drastik dalam tadbir urus perolehan aset pertahanan negara tanpa sebarang kompromi.

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Isu pembatalan eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway membuka satu lagi episod mencabar dalam projek kapal tempur pesisir (LCS) negara.

Walaupun faktor geopolitik menjadi alasan utama keputusan Norway, persoalan lebih besar ialah sama ada krisis ini dapat dielakkan sekiranya projek LCS tidak mengalami kelewatan bertahun-tahun.

Umum mengetahui projek LCS menjadi satu lagi skandal kelewatan pembinaan kepala negara, isu serupa yang dihadapi semasa projek NGPV 20 tahun dahulu.

Pada asalnya, kapal LCS dijadualkan diserahkan antara 2019 hingga 2023.

Namun, pelbagai masalah pengurusan, kewangan dan teknikal menyebabkan projek itu jauh tersasar daripada jadual asal.

Semasa LIMA 2017, Boustead Naval Shipyard (BNS) memberi jaminan bahawa kapal pertama, KD Maharaja Lela, akan dipamerkan pada LIMA 2019.

Janji tersebut gagal ditunaikan apabila kapal itu masih belum mencapai tahap kesiapsiagaan operasi.

Hakikatnya, pelancaran kapal LCS pada 2017 lebih bersifat simbolik apabila kapal tersebut sebenarnya masih kosong dan jauh daripada status siap operasi.

Pada ketika itu, kontrak pembelian misil NSM juga belum dimeterai secara rasmi.
Kontrak bernilai €124 juta itu hanya ditandatangani pada April 2018 semasa DSA di Kuala Lumpur.

Keadaan ini menunjukkan pembinaan kapal telah bergerak lebih awal daripada penyelesaian kontrak persenjataan utama.

Secara amnya, amalan sedemikian bertentangan dengan standard industri pembinaan kapal perang antarabangsa.

Lazimnya, kontrak sistem senjata dimuktamadkan sebelum atau serentak dengan pembinaan fizikal kapal bermula.

Langkah itu penting bagi memastikan integrasi reka bentuk, sistem pelancar dan perisian kapal berjalan lancar.

Malah, belum pernah kita dengar selama ini TLDM memuktamadkan pembelian kapal perang tanpa kontrak sistem persenjataan. Semua kapal perang yang dibeli TLDM diterima lengkap dengan semua sistem.

Dalam projek LCS, struktur kapal dibina ketika spesifikasi akhir masih belum dimuktamadkan.

Akibatnya, perubahan teknikal pada peringkat kemudian memerlukan pengubahsuaian yang menelan kos tinggi.

Laporan PAC sebelum ini turut mengkritik pendekatan ‘Design and Build’ yang dilaksanakan secara serentak tanpa perancangan matang.

Pendekatan tersebut meningkatkan risiko kelewatan dan pembaziran kos.

Sistem Pengurusan Peperangan (CMS) juga bergantung kepada jenis misil yang dipilih sejak awal. Tanpa kontrak rasmi, proses pembangunan dan integrasi CMS menjadi lebih rumit.

Malah, perubahan spesifikasi menyebabkan keseluruhan sistem perlu disemak semula.

Walaupun Malaysia dilaporkan telah membuat pembayaran hampir 95 peratus mengikut jadual kontrak, lesen eksport NSM akhirnya dibatalkan oleh Norway.

Keputusan itu memaksa Malaysia menanggung kos tambahan termasuk menanggalkan sistem pelancar yang telah dipasang pada kapal.

MINDEF kini menuntut ganti rugi sebanyak RM1 bilion daripada pembekal.

Pada masa sama, kementerian sedang menilai pembekal alternatif dari beberapa negara termasuk Turkiye dan Korea Selatan.

Langkah tersebut penting bagi memastikan penyerahan kapal tidak terus tertangguh.

Namun, penggantian sistem misil bukanlah proses yang mudah kerana melibatkan integrasi teknikal baharu.

Ia memerlukan pengubahsuaian perisian, perkakasan dan ujian menyeluruh sebelum kapal boleh beroperasi sepenuhnya.

Kes NSM membuktikan bahawa kelemahan perancangan awal boleh memberi kesan besar walaupun bertahun-tahun selepas projek dimulakan.

Isu ini mengesahkan lagi kritikan laporan PAC bahawa perancangan sistem persenjataan dan integrasi teknikal kapal LCS di bawah pengurusan lama dibuat secara tergesa-gesa tanpa kontrak yang matang, menyebabkan kapal diluncurkan dalam keadaan kosong.

Pengajaran paling penting ialah disiplin dalam pengurusan projek pertahanan mesti mematuhi amalan terbaik antarabangsa tanpa kompromi.

Kelewatan telah berlaku, dan kita terpaksa menerima hakikat Norway membatalkan penjualan misil NSM. Dalam isu ini tiada istilah ‘kalau’ (untuk memperbetulkan keadaan), sebaliknya kita terimalah takdir kesilapan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply