ALOR SETAR,14 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) telah menahan 31 pendatang tanpa izin (PATI) Myanmar berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, pad Isnin.
Markas 2 Div memaklumkan, tangkapan dilakukan kira-kira pada jam 6 pagi di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurut TDM, sepasukan anggota operasi yang menjalankan rondaan telah mengesan sekumpulan PATI yang sedang bersembunyi di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 31 PATI itu merupakan warga Myanmar terdiri daripada 14 lelaki, 14 wanita, 2 kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berumur antara 2 hingga 42 tahun,
“Mereka dipercayai telah memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah,” jelas 2 Did dalam kenyataan.
Pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai, 23 telefon bimbit serta beberapa set perhiasan dipercayai barang kemas yang keseluruhan dianggar bernilai lebih RM27,000.
“Kesemua PATI telah diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,
“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya melibatkan PATI,” tambah 2 Div lagi. -airtimes.my
#TDM #PATI #Myanmar #ceroboh #Malaysia #airtimes