Home Teknologi PertahananMalaysia dijangka hasil roket dalam tempoh dua tahun melalui kerjasama Weststar-RTI

Malaysia dijangka hasil roket dalam tempoh dua tahun melalui kerjasama Weststar-RTI

Kerjasama strategik Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan Rocket Technologies International Pty Ltd merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

CANBERRA, 1 JULAI – Malaysia dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun melalui kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu turut merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.

“Kerjasama ini bukan sekadar melibatkan aspek pengeluaran, malah turut merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia yang dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemeteraian kerjasama berkenaan disaksikan Mohamed Khaled sempena lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari ke Australia.

Majlis pemeteraian itu berlangsung di National Convention Centre, Canberra, melibatkan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, dengan Pengasas RTI, Allan James Payne.

Mohamed Khaled turut berkata, kerjasama strategik tersebut merupakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara, khususnya dalam bidang teknologi roket dan misil.

“RTI mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang berkenaan, kerjasama bersama Weststar akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan menyambut baik dan menyokong kerjasama itu kerana ia sejajar dengan usaha negara membangunkan keupayaan tempatan dalam pembangunan dan pengeluaran roket serta misil.

Dalam masa sama, kenyataan turut menyatakan, pelaburan Weststar membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI, sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa.

Beliau berkata, usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk memperkukuh industri pertahanan tempatan serta menyumbang kepada pembinaan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan dan persetujuan terhadap kerjasama serta pemindahan teknologi antara RTI dan Weststar. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply