Home SemasaRakyat Malaysia terkorban sebagai askar upahan dalam konflik Ukraine-Rusia?

Rakyat Malaysia terkorban sebagai askar upahan dalam konflik Ukraine-Rusia?

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 29 OKT – Tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Lesen Memandu Malaysia yang ditemui oleh tentera Rusia selepas berjaya menawan Levadne. Foto: VK

Dokumen tersebut, termasuk Lesen Memandu Malaysia dikatakan telah ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny (Ukraine: Levadne), Zaporizhia.

Berdasarkan pemerhatian gambar-gambar yang tular tersebut, lesen memandu milik individu beralamat di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia adalah sah sehingga Februari 2025.

Gambar dokumen ini tular di beberapa saluran Telegram yang dikendalikan pemerhati perang pro-Rusia. Selain itu, turut dipaparkan pasport serta dokumen identiti beberapa individu dari negara lain seperti Turkiye dan Croatia.

Kad pengenalan Turkiye (hadapan) dan Lesen Memandu Malaysia (belakang) yang dipamerkan oleh salah seorang pengguna platform media sosial Rusia. Sumber: VK

Satu akaun di platform media sosial VK yang dikendalikan individu yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan Wagner menyatakan dokumen tersebut diperoleh oleh pihak 336th Guards Naval Infantry Brigade (336th Marine Brigade).

“Baru-baru ini, anggota penyerang dari 336th Marine Brigade telah menyerbu beberapa kubu kuat musuh termasuk di Livadny,” kata pengendali akaun terbabit, sambil menambah bahawa tentera Rusia telah berjaya menumpaskan elemen tentera Ukraine serta pejuang asing di kawasan itu.

Sehingga kini, nasib individu terbabit belum diketahui.

Pada ketika ini, Air Times sedang berusaha mendapatkan komen daripada pihak Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri mengenai isu ini.

Livadny merupakan kawasan yang pernah dikuasai oleh Rusia dalam fasa awal operasi ketenteraan khas terhadap Ukraine sebelum dirampas semula oleh Ukraine dalam serangan balas pada pertengahan 2023.

Pengguna laman media sosial dedahkan dokumen yang ditemui di Levadne. Turut kelihatan MyKad dan Lesen Memandu Malaysia (dalam bulatan). Foto: VK

Kawasan tersebut telah ditawan semula oleh Rusia dengan melibatkan elemen 336th Marine Brigade dan 394th Motorized Rifle Regiment pada 12-13 Oktober lalu.

Sebelum ini, media pro-Ukraine pada Januari lalu mendakwa beberapa rakyat Malaysia turut menyertai tentera upahan asing bagi pihak Rusia.

Namun begitu, dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – airtimes.my

#airtimes #Malaysia #UkraineRusia #konflik #WismaPutra

Related Articles

Leave a Reply