Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD PENDEKAR: Kesilapan pandu arah, kapal usang jadi faktor tenggelam

KD PENDEKAR: Kesilapan pandu arah, kapal usang jadi faktor tenggelam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan insiden Kapal DiRaja KD PENDEKAR yang tenggelam di Perairan Tanjung Penyusop, Johor pada 25 Ogos lalu berpunca daripada kesilapan pandu arah dan keusangan kapal berusia lebih 45 tahun.

Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Tentera Laut memaklumkan, berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD Pendekar didapati telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai.

Lembaga siasatan juga mendapati faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain.

Dalam kejadian itu, KD Pendekar telah karam ketika melaksanakan rondaan operasi.

“Insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal,

“Semua 39 kru kapal berjaya dipindahkan dengan selamat ke kapal dagang MV Ashley tanpa sebarang kecederaan,

“Usaha menyelamat dan mengapungkan KD Pendekar berjaya diselesaikan pada 15 Oktober lepas oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal,” jelas Markas Tentera Laut dalam kenyataan, malam tadi.

Kematian penyelam ranjau semasa Operasi Salvaj

Sementara itu, berhubung kematian penyelam TLDM, Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, disahkan terkorban akibat lemas ketika melaksanakan operasi salvaj KD Pendekar tersebut.

Menurut TLDM, keadaan di kawasan operasi di mana arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad iaitu sekitar 1 kaki pada hari kejadian.

“Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar,

“Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan (emergency drill) yang dilakukan oleh penyelam malang ini tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas,” tambah kenyataan itu.

Lembaga Siasatan TLDM juga mendapati, prosedur operasi tetap SOP penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan.

“Peralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman,

“Penyelam juga disahkan kompeten untuk menjalankan tugas penyelaman tersebut. TLDM mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden yang berlaku,” jelas TLDM.

Tegas TLDM, pihaknya mengambil serius dapatan kedua-dua insiden yang berlaku.

“Keselamatan anggota dan kesiagaan armada keutamaan TLDM, di samping memastikan semua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan ditetapkan,” ujar TLDM. -airtimes.my

#TLDM #KDPendekar #usang #tenggelam #operasi #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!