KUALA LUMPUR, 29 JAN – Kerajaan telah meluluskan pemasangan sistem pelancar misil anti permukaan (Surface to Surface Missiles, SSM) pada kesemua 6 buah kapal kelas KEDAH.
Pemasangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif peningkatan keupayaan tempur permukaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu penyataan jawapan lisan di Parlimen.
“Pada masa ini, pihak TLDM sedang melaksanakan tinjauan harga bagi mengenal pasti kos sebenar keseluruhan projek,
“Sebagai makluman, pemasangan NSM dirancang secara berfasa dan berperingkat, mengambil kira kesiapsiagaan teknikal kapal, keperluan operasi serta implikasi kos,” katanya.
Menurut Menteri Pertahanan, penilaian dan integrasi keupayaan akan ditumpukan kepada kapal utama sebagai platform perintis. Langkah ini diambil bagi keberkesanan pelaksanaan, keperluan operasi TLDM dan kelulusan peruntukan Kerajaan sebelum diperluaskan ke kapal-kapal lain dari kelas yang sama.

KD KEDAH (belakang) berlayar bersama kapal selam Scorpene kelas PERDANA MENTERI. Kedua-dua aset ini merupakan tunjang utama dalam Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM./Gambar: KD KEDAH
Profil Kapal Kelas KEDAH
Kapal Kelas KEDAH yang turut dikenali sebagai New Generation Patrol Vessel (NGPV), merupakan aset TLDM yang dibina berasaskan reka bentuk MEKO 100. Kapal ini merupakan salah satu daripada 5 kelas yang digariskan dalam Perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM.
Kapal ini adalah sepanjang 91.1 meter dan berat sesaran sekitar 1,650 tan. Kapal ini pada asalnya direka dengan konsep “fitted for but not with” (FFBNW). Konsep ini bermaksud kapal ini mempunyai ruang dan berat simpanan untuk sistem persenjataan tambahan namun tidak dipasang semasa ditauliahkan.
Dalam inventori TLDM, terdapat 6 buah kapal dalam kelas ini iaitu KD KEDAH, KD PAHANG, KD PERAK, KD TERENGGANU, KD KELANTAN, dan KD SELANGOR. Kapal in i dilengkapi dengan meriam utama Oto Melara 76mm dan meriam kecil 30mm sebagai pertahanan. – airtimes.my
