Home Pertahanan dan KeselamatanKolumnis: Tambah RM319.6 juta jadikan kos projek OPV APMM cecah RM1.2 bilion

Kolumnis: Tambah RM319.6 juta jadikan kos projek OPV APMM cecah RM1.2 bilion

Kos tambahan RM319.6 juta menjadikan nilai keseluruhan projek OPV APMM meningkat kepada kira-kira RM1.2 bilion, sekali gus mengundang persoalan mengenai kecekapan pengurusan projek pembinaan kapal negara serta pengajaran yang sepatutnya dipelajari daripada pengalaman NGPV, LCS dan OPV.

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Kerajaan nampaknya membayar harga mahal untuk meneruskan projek kapal OPV APMM apabila kos sebanyak RM319.6 juga diperlukan bagi menyiapkan baki dua buah kapal.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kos tersebut dalam kenyataan di Parlimen semalam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasarkan pembinaan kedua-dua kapal ini dapat disambung seawal November nanti setelah kerja-kerja tertangguh.

Saifuddin Nasution berkata, KDN akan memulakan rundingan harga dengan syarikat yang bakal dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja menyiapkan OPV 2 dan OPV 3.

Ia selaras dengan surat kelulusan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) pada 5 Jun 2026.

Kontraktor asal ditamatkan pada Disember 2024 dan kerajaan pada waktu itu telah melantik kontraktor baharu, Shin Yang Shipyard untuk menyiapkan baki kapal tersebut.

Bagaimana pun, sehingga kini belum ada LOI dikeluarkan kepada Shin Yang Shipyard.

Kos asal projek OPV APMM semasa dimeterai pada 2017 adalah RM739.8 juta untuk tiga buah kapal.

Malangnya, OPV gagal disiapkan
ekoran masalah kewangan kontraktor asal (THHE Destini) dan krisis COVID-19.

Bagi memastikan kapal pertama siap, kerajaan kemudian telah meluluskan suntikan pinjaman awal sebanyak RM152.6 juta di bawah MOF untuk menyiapkan OPV 1, KM Tun Fatimah.

Dengan peruntukan tambahan itu menjadikan kos keseluruhan projek meningkat daripada sekitar RM739 juta kepada kira-kira RM1.2 bilion bagi tiga buah kapal.

Ini bermakna kos purata setiap OPV APMM kini mencecah sekitar RM404 juta.

Jumlah tersebut jauh lebih tinggi berbanding anggaran asal iaitu RM246 juta sebuah kerana OPV tersebut merupakan sebuah kapal peronda luar pantai asas.

Peningkatan kos ini bukan berpunca daripada perubahan spesifikasi kapal,
sebaliknya kesan langsung daripada kegagalan kontraktor asal menyiapkan projek mengikut jadual.

Persoalannya, wajarkah kos besar ini dibelanjakan untuk menyiapkan dua kapal OPV yang telah lama terbengkalai?

Sebagai perbandingan, pembelian dua. buah kapal MPMS Turkiye adalah RM304.29 juta bagi kapal pertama dan
RM339.85 juta (kapal kedua).

Kedua-dua buah kapal dijangka siap tahun hadapan dengan kapal MPMS pertama akan dipamerkan pada LIMA 2027.

Bagi sebuah OPV berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dengan kelajuan 21 knot serta sistem persenjataan asas iaitu meriam 30mm, kos lebih RM1.2 bilion ini adalah mahal.

Kapal MPMS APMM sebaliknya adalah lebih besar, canggih, dan berkeupayaan tinggi berbanding OPV.

MPMS mempunyai tempoh operasi lebih lama serta keupayaan membawa UAV, fasiliti perubatan dan pusat tahanan.

Walaupun lebih canggih, kos pembinaannya dilihat lebih kompetitif.
Ini menimbulkan persoalan mengenai kecekapan pelaksanaan projek pembinaan kapal dalam negara.

Malaysia seolah-olah berdepan episod berulang dalam program pembinaan kapal pertahanan dan keselamatan apabila tiga projek utama negara dalam tempoh hampir tiga dekad masing-masing berdepan pelbagai masalah.

Bermula dengan projek NGPV TLDM pada 1998, diikuti program LCS pada 2014 dan seterusnya projek OPV pada 2017.

Corak kegagalan yang berulang ini menimbulkan persoalan sama ada pengajaran daripada projek terdahulu benar-benar diambil kira sebelum kontrak baharu dianugerahkan.

Ia juga menimbulkan persoalan sama ada kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti dalam projek terdahulu telah dijadikan iktibar bagi mengelakkan masalah yang sama daripada berulang.

Jujurnya, APMM tetap memerlukan kapal-kapal ini bagi memperkukuhkan rondaan di perairan negara.

Kejayaan menyiapkan KM Tun Fatimah membuktikan projek ini masih boleh diselamatkan.

Namun, kejayaan itu datang bersama kos yang jauh lebih tinggi daripada perancangan asal.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply