PUTRAJAYA, 17 OKT – Sebanyak 598 tangkapan Vesel Nelayan Asing (VNA) telah berjaya dilakukan sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan OP NAGA bermula Mei 2019 hingga September 2024.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, daripada jumlah penahanan tersebut, lebih RM209 juta nilai hasil keseluruhan tangkapan berjaya dicatatkan.
“75 peratus daripada tangkapan yang dilakukan adalah melibatkan 451 VNA Vietnam dengan jumlah kru yang ditahan seramai 4,391orang, manakala nilai keseluruhan tangkapan melebihi RM190 juta.
“Angka berkenaan merupakan sebahagian daripada jumlah VNA yang berjaya ditahan semasa memasuki perairan negara walau terdapat kekangan aset yang dihadapi seperti penyelenggaraan berjadual dan keuzuran aset,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya lagi, , pasukan keselamatan yang terlibat dalam OP NAGA sentiasa komited melaksanakan operasi berkenaan bagi membanteras pencerobohan VNA untuk mengaut hasil laut yang ada di perairan negara.
“Ancaman aktiviti perikanan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUUFishing) perlu ditangani dengan kerjasama semua pihak sama ada pasukan keselamatan mahupun komuniti maritim setempat.
“Jika tidak dibanteras, aktiviti ini akan menjejaskan habitat ekosistem marin yang bakal mengancam pembiakan benih ikan dan akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan,” ujar beliau. – airtimes.my
#MaritimMalaysia #Keselamatan