Home Pertahanan dan Keselamatan Kolumnis: OPV APMM – dapat diserahkan atau tidak?

Kolumnis: OPV APMM – dapat diserahkan atau tidak?

by Zaki Salleh

JIKA semuanya berjalan baik, kapal ronda luar pesisir (OPV) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan dilancarkan ke air di Limbungan Pulau Indah, Selangor pada 10 Oktober depan.

Kapal yang diberi nama KM Tun Fatimah dengan nombor penant 8305 ini adalah yang pertama daripada tiga buah OPV kesemuanya untuk agensi tersebut.

Dua buah kapal lagi masih dalam pembinaan di limbungan sama.

OPV yang sepatutnya dilancarkan pada 13 September lalu gagal dilakukan sebelum ini kerana kapal masih tidak berjaya dibawa ke lokasi pelancaran.

Alternatif berikutnya, cara pelancaran diubah iaitu daripada Launching Cradle kepada sistem pelancaran Air Balloon iaitu dengan meletakkan pelampung getah pada bawah kapal.

Pelampung getah yang diisikan angin ini akan menaikkan badan kapal daripada pelantar seterusnya memudahkan dilancarkan ke air.

Kaedah ini bukan baharu tetapi antara pilihan yang digunakan oleh mana-mana limbungan kapal untuk melancarkan vesel yang siap dibina masuk ke dalam air.

Difahamkan, ketika ini kerja-kerja meletakkan pelampung getah pada bawah badan kapal sedang giat dilakukan oleh pihak vendor untuk mengejar tarikh pelancaran.

Pelancaran kapal OPV pertama untuk Maritim Malaysia yang sepatutnya dilancarkan pada 13 September telah ditangguhkan kepada Oktober ini. Foto: Maritim Malaysia

Jika kapal ini berjaya masuk ke air, ia juga satu kejayaan pada syarikat pembinanya serta pihak-pihak yang terlibat dalam program perolehan kapal peronda termoden untuk APMM.

Cumanya, ini bukanlah kali pertama kapal OPV berkenaan hendak dilancarkan kerana jika mengikut perancangan awal, kapal sepatutnya dibawa ke air adalah dua tahun lalu.

Bagaimana pun ia tidak dapat dilakukan.

Portal pertahanan, Malaysia Defence pada Disember 2020 dipetik melaporkan, bahawa, kapal akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2021.

Sebelumnya kata portal itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan mengumumkan pelancaran kapal akan dibuat pada Oktober 2020.

Penangguhan tersebut disebabkan syarikat pembinanya, THHE Destini Sdn. Bhd. mendapati lokasi tapak pelancaran tidak sempurna kerana dipenuhi longgokan bahan-bahan binaan dan kerja-kerja pembersihan tersebut memerlukan masa.

Petikan penuh jawapan Kementerian Dalam Negeri berhubung isu kapal OPV Maritim Malaysia pada 16 Disember 2020 di Dewan Negara. Foto: Air Times

Dalam kenyataan bertulis KDN semasa menjawab soalan Senator Imran Abdul Hamid di Parlimen, kementerian itu menjangkakan OPV pertama diserahkan pada tahun 2021 dengan jangkaan projek disiapkan sepenuhnya pada 2022.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pembinaan tiga (3) buah kapal Offshore Patrol Vessel(OPV) bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaksanakan oleh syarikat usahasama (Destini Shipbuilding & Engineering Sdn Bhd dan TH Heavy Engineering Berhad) iaitu THHE-Destini Sdn.Bhd.

“Berakhir November 2020, kemajuan pembinaan ketiga-tiga kapal secara keseluruhannya telah mencapai tujuh puluh satu perpuluhan satu peratus (71.7%).

“Penyerahan ketiga-tiga kapal akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2021 dan akan selesai sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022,” kata pihak KDN dalam Pemberitahuan Pertanyaan Lisan Dewan Negara pada 16 Disember 2020.

Cara pelancaran telah diubah dari ‘Launching Cradle’ kepada ‘Sistem Air Balloon’. Foto: Maritim Malaysia

OPV yang dibina berasaskan rekaan kapal kelas Damen 1800 (buatan firma Belanda) ini sepanjang 83 meter dengan berat kira-kira 1,890 tan serta boleh belayar pada kelajuan 22 knot.

Persenjataan utama kapal adalah selaras meriam ringan kaliber 30mm jenis Aselsan SMASH RWS selain dipasang dua laras mesingan 7.62mm pada sisi kapal dan selaras mesingan 12.7mm.

Melengkapi fungsi OPV, kapal ini mempunyai geladak pendaratan helikopter saiz sederhana. OPV bersama kira-kira 70 anak kapal ini mampu belayar sehingga 21 hari untuk memikul tanggungjawab melaksanakan rondaan.

Atas sebab itu APMM telah merancang apabila siap kelak tiga buah OPV ditugaskan di Malaysia timur untuk mengawasi perairan Laut China Selatan.

Agensi itu sepatutnya menerima sebuah kapal OPV pada Ogos lalu selepas kerajaan memberi lanjutan sehingga 18 bulan kepada syarikat TH Heavy Engineering untuk menyiapkan kerja yang tertangguh.

2 buah lagi kapal OPV untuk Maritim Malaysia sedang dibina. Foto: Maritim Malaysia.

Sewaktu pembinaan OPV dimulakan, TH Heavy Engineering bekerjasama dengan Destini Sdn. Bhd, menerusi peratusan pegangan dalam projek masing-masing 49 peratus dan 51 peratus.

Bagaimana pun, pada April 2021 TH Heavy Engineering telah mengambil alih kesemuanya pegangan Destini Sdn. Bhd.

Kelewatan penyerahan ini juga telah menimbulkan cakap-cakap dalam kalangan industri mengenai kemampuan sebenar syarikat pembinanya sehingga meyakinkan kerajaan khususnya KDN untuk dianugerahkan kontrak.

Ini memandangkan TH Heavy Engineering telah diberi satu tempoh yang lama untuk menyiapkan kapal berkenaan.

TH Heavy Engineering ketika itu merupakan anak syarikat pelaburan Tabung Haji yang menjalankan perkhidmatan baikpulih dan membekal alat ganti untuk Industri minyak dan gas.

Kontrak perolehan tiga OPV bernilai RM738.9 juta ini dimeterai pada Januari 2017 untuk disiapkan dalam tempoh 42 bulan.

Kapal OPV Maritim Malaysia adalah berasaskan model Damen OPV 1800. Foto: Damen

Jika mengambil kira tempoh itu kapal-kapal ini telah pun siap pada Julai 2020.

Berbanding kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), kapal OPV ini tidaklah terlalu canggih maka pembinaanya tidak terlalu rumit.

Rumit bermaksud ciri-ciri kapal ini tidak memerlukan kelengkapan dan sistem-sistem sepertimana dimiliki sebuah kapal perang.

Perbandingan ini juga boleh dilihat berpandukan kos sebuah OPV adalah sekitar RM200 juta manakala LCS berharga RM1.5 bilion sebuah.

Sekalipun situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara hampir dua tahun disebut telah merencatkan penyerahan kapal, namun berdasarkan kapal telah siap lebih 70 peratus sepertimana diakui KDN, ia sepatutnya tidak mengambil masa lama.

Fasa melancarkan kapal ke air bermakna projek pembinaan ini memasuki proses akhir iaitu kapal menjalani ujian di laut termasuk menguji sistem-sistem yang telah dipasang.

Apabila proses ini berjaya dan kapal disahkan menepati spesifikasi, maka proses seterusnya ialah menyerahkan kapal kepada pengguna akhir iaitu APMM.

Persoalan yang timbul kini ialah apa akan berlaku seterusnya jika pelancaran menggunakan kaedah Air Ballon itu pada 10 Oktober nanti tidak dapat direalisasikan.

Besar kemungkinan harapan untuk kapal OPV pertama dapat diserahkan kepada APMM pada awal 2023 tidak berlaku. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply