Home Pertahanan dan KeselamatanPLKN 3.0: Pemilihan peserta dibuat secara rawak, maklumat dari pangkalan data

PLKN 3.0: Pemilihan peserta dibuat secara rawak, maklumat dari pangkalan data

by Nurulhuda
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 Jul – Pemilihan peserta untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dibuat secara rawak iaitu dengan menggunakan maklumat dari pangkalan data di Jabatan Pendaftaran Negara tanpa mengira status mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, hanya peserta yang berumur 17 tahun dan terpilih sahaja akan mengikuti latihan asas PLKN 3.0 yang dijadualkan bermula tahun hadapan.

“Pemilihan peserta ini dilakukan secara rawak, dimana mereka ini akan disaring mengikut kesesuaian berpandukan tahap kesihatan, status persekolahan, mempunyai rekod jenayah atau tidak dan kemudian kita akan lakukan pemilihan,

“Manakala bagi golongan kurang upaya (OKU) pula, mereka yang terpilih akan mengikuti latihan terus yang diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang menyatakan sama ada kementerian telah meneliti piawaian dalam menentukan pemilihan peserta PLKN 3.0 dimana semua pelajar berumur 17 tahun akan terlibat dalam program tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah melakukan penilaian dan penelitian yang mendalam untuk memastikan program yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, pemilihan peserta untuk Pra-PLKN akan melibatkan semua pelajar tingkatan 4, dimana ketika mereka mengikuti aktiviti ko-kurikulum di sekolah masing-masing.

“Maka mereka akan diperkenalkan dengan fasa Pra-PLKN ini yang bersamaan dengan modul Gen-Madani yang telah dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” jelasnya lagi.

Terdahulu, Mohamed Khaled berkata, peserta PLKN 3.0 tidak akan melalui latihan ketenteraan yang bersifat intensif seperti diberikan kepada anggota tentera yang sebenar.

Sebaliknya, beliau berkata, modul ketenteraan yang mencakupi 70 peratus daripada pengisian PLKN yang baharu ini, akan menekankan aspek-aspek seperti disiplin diri.

Ia akan melibatkan latihan seperti pengurusan masa, kebersihan, kepatuhan kepada peraturan, keupayaan untuk melakukan tugasan dalam berkumpulan serta ketahanan dalam melakukan sesuatu tugasan secara bertanggungjawab.

“Modul baharu ini akan turut melibatkan pendedahan dan penerangan berkenaan dengan dasar-dasar pertahanan negara dalam membentuk generasi muda yang berwibawa, matang serta berketahanan,

“Selain itu, penekanan sehingga 70 peratus modul ini adalah berasaskan kepada dapatan libat urus dengan pelbagai pihak yang memberi maklum balas tentang sikap dan perilaku golongan muda masa kini,

“Kita turut berhasrat menjadikan PLKN yang baharu ini sebagai satu medium mendedahkan tentang realiti serta keistimewaan kerjaya pertahanan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PLKN 3.0 yang melibatkan latihan asas ini akan melibatkan penyertaan 121,000 peserta dimana, 26,000 peserta akan dilatih di kem wataniah di seluruh negara.

Manakala, 96,000 peserta akan menjalani latihan di 20 Institut Pengajian Tingga Awam (IPTA), politeknik dan sebagainya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan memaklumkan di Dewan Rakyat, PLKN 3.0 akan melibatkan pelajar tingkatan 4 dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 peserta di kem-kem wataniah. Ia dijangka bermula pada bulan Jun atau Julai tahun depan.

Menurutnya, bagi Fasa Pra PLKN di peringkat sekolah, ia melibatkan pelajar tingkatan 4 yang akan dilaksanakan bersama dengan ketetapan pelaksanaan modul Gen-Madani oleh KPM.
“Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan KPM telah menyediakan dan merangka modul latihan secara berfasa,

“PLKN akan diperkenalkan di peringkat sekolah (Fasa Pra PLKN) sebagai persiapan menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun dan program ini akan melibatkan pelajar di Tingkatan 4 sahaja semasa kegiatan ko-kurikulum,” katanya.-airtimes.my

#PLKN #airtimes #pertahanan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply