Home DiskusiC-130 semakin berusia: Apakah pilihan pengganti pesawat angkut TUDM?

C-130 semakin berusia: Apakah pilihan pengganti pesawat angkut TUDM?

Usia Hercules yang mencecah lima dekad menjadikan isu pengganti bukan sekadar soal membeli pesawat baharu, tetapi menentukan keupayaan mobiliti, HADR dan kos kitar hayat TUDM untuk dekad akan datang.

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Pesawat C-130 Hercules sudah lama menjadi tulang belakang mobiliti udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ia bukan pesawat yang glamor seperti jet pejuang, tetapi peranannya sangat besar dengan membawa anggota, kargo, bantuan bencana, bekalan operasi dan melaksanakan pelbagai penugasan negara ketika diperlukan.

Namun, selepas puluhan tahun berkhidmat, persoalan utama semakin sukar dielakkan. Sampai bila Hercules boleh terus dipertahankan sebagai pesawat angkut utama TUDM?.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris memaklumkan bahawa enam pesawat C-130 terawal TUDM sudah mencecah usia 50 tahun pengoperasian, manakala pesawat yang paling muda sudah berusia 31 tahun. Beliau turut mengingatkan bahawa aset lama mungkin masih baik, tetapi pada satu tahap, kos menyelenggaranya boleh menjadi terlalu tinggi berbanding menggantikannya dengan aset baharu.

C-130 masih berguna, tetapi usia tidak boleh dinafikan

Hercules terkenal kerana lasak, fleksibel dan sesuai untuk pelbagai tugasan. Sebab itu banyak negara masih mengoperasikan keluarga C-130 walaupun reka bentuk asasnya sudah lama. Bagi Malaysia, kelebihan itu terbukti melalui penggunaan berterusan dalam operasi logistik, bantuan kemanusiaan dan tugas sokongan negara.

Masalahnya, usia pesawat membawa kesan berlapis. Semakin tua sesuatu platform, semakin besar tekanan terhadap alat ganti, penyelenggaraan, avionik, struktur, latihan teknikal dan masa pesawat berada di darat. Pesawat masih boleh terbang, tetapi soalan sebenar ialah berapa banyak kos, tenaga kerja dan masa diperlukan untuk memastikan ia terus tersedia.

Isu ini penting kerana TUDM bukan hanya memerlukan pesawat yang boleh terbang, tetapi pesawat yang boleh tersedia apabila negara memerlukannya. Dalam konteks bencana banjir, penghantaran bantuan ke Sabah dan Sarawak, sokongan operasi ketenteraan atau misi luar negara, kelewatan mobiliti udara boleh memberi kesan langsung kepada tindak balas negara.

HADR menjadikan pesawat angkut aset nasional

Keperluan pesawat angkut tidak boleh dilihat melalui kaca mata ketenteraan semata-mata. Dalam ucapan sama, Panglima TUDM menegaskan bahawa operasi bantuan kemanusiaan merupakan antara fokus utama TUDM. Beliau turut menyebut pelaksanaan operasi pembenihan awan dan penggunaan aset sedia ada bagi memenuhi keperluan keselamatan serta keperluan negara.

Di sinilah C-130 dan penggantinya menjadi aset nasional, bukan sekadar aset tentera. Malaysia mempunyai geografi yang menuntut mobiliti udara yang pantas iaitu Semenanjung, Sabah, Sarawak, kawasan pulau, pangkalan hadapan dan kawasan bencana yang kadang-kadang sukar dicapai melalui darat atau laut.

Bagi operasi bantuan kemanusiaan dan bencana, pesawat angkut perlu membawa muatan besar, mendarat di lapangan terbang yang tidak semestinya ideal, memuatkan kenderaan ringan, bekalan makanan, khemah, peralatan perubatan dan anggota penyelamat. Pesawat baharu juga perlu mempunyai sistem avionik moden, penggunaan bahan api lebih cekap, kebolehselenggaraan lebih baik dan sokongan industri yang kukuh.

C-130J Super Hercules: pilihan paling natural kepada Hercules TUDM

C-130J Super Hercules./Foto: Lockheed Martin

Calon paling semula jadi ialah C-130J Super Hercules kerana daripada keluarga Hercules yang sudah lama dikenali oleh TUDM. Dari sudut latihan, budaya penyelenggaraan, operasi taktikal dan keserasian misi, peralihan daripada C-130H kepada C-130J berpotensi lebih terkawal berbanding beralih kepada platform yang baharu.

C-130J mempunyai muatan maksimum sekitar 19,090 kilogram, boleh membawa sehingga 90 anggota tempur atau 64 penerjun payung, serta dikendalikan oleh tiga kru asas iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan loadmaster, menurut helaian fakta rasmi 136th Airlift Wing, Air National Guard Amerika Syarikat.

Bagi TUDM, kekuatan C-130J bukan semata-mata pada angka muatan, nilainya terletak pada kesinambungan. Malaysia sudah memahami ekosistem Hercules dan sekiranya TUDM mahu mengurangkan risiko peralihan, C-130J ialah pilihan paling konservatif dan praktikal.

Namun, pilihan ini juga ada batas, ia masih dalam kelas angkut taktikal sederhana. Jika Malaysia mahu peningkatan besar dalam muatan besar, jarak strategik dan pengangkutan aset bersaiz besar, C-130J mungkin bukan lonjakan paling besar.

A400M sebagai perluasan armada sedia ada

Malaysia sudah mengoperasikan Airbus A400M, ini menjadikan A400M pilihan yang menarik jika kerajaan mahu memperluas keupayaan angkut berat dan strategik. A400M mampu membawa muatan maksimum 37 tan dan direka untuk membawa kargo besar yang tidak boleh dimuatkan dalam pesawat angkut taktikal generasi lama, termasuk kenderaan berat, helikopter tertentu dan peralatan kejuruteraan untuk bantuan bencana.

Dari segi keupayaan, A400M lebih besar daripada C-130. Ia sesuai untuk misi jarak jauh, muatan besar dan operasi yang memerlukan gabungan mobiliti strategik serta taktikal. TUDM juga sudah mempunyai pengalaman mengoperasikan pesawat ini, sekali gus memberi asas kepada latihan, penyelenggaraan dan pembangunan kepakaran tempatan.

Tetapi A400M bukan pengganti setiap satu kepada C-130. Ia lebih mahal, lebih besar dan mungkin tidak sesuai untuk semua tugasan harian yang sebelum ini dipikul Hercules. Jika semua C-130 diganti dengan platform sebesar A400M, TUDM mungkin memperoleh kuasa angkut lebih besar, tetapi kehilangan fleksibiliti pesawat sederhana yang lebih ekonomik untuk misi rutin.

C-390 Millennium sebagai calon generasi baharu

C-390 Millennium./Foto: Embraer

Satu lagi calon yang semakin banyak disebut dalam pasaran antarabangsa ialah Embraer C-390 Millennium. Pesawat ini menggunakan enjin jet, mempunyai kelajuan lebih tinggi berbanding turboprop dan direka untuk misi angkut taktikal, pengisian minyak di udara, evakuasi perubatan dan operasi bantuan kemanusiaan. Embraer memasarkan C-390 sebagai pesawat angkut generasi baharu dengan sokongan logistik moden.

Kelebihannya ialah kelajuan, reka bentuk baharu dan potensi kos operasi yang kompetitif, bergantung pada pakej perolehan dan sokongan. Ia boleh menjadi pilihan jika Malaysia mahu mengelakkan penggantian terlalu konservatif, tetapi tidak mahu menambah platform sebesar A400M.

Namun, C-390 juga memerlukan penilaian teliti dan TUDM perlu menilai sokongan alat ganti, latihan kru, keupayaan penyelenggaraan tempatan, jaminan ketersediaan serta kesesuaian dengan infrastruktur sedia ada. Pesawat baharu tidak semestinya lebih baik jika ekosistem sokongannya belum kukuh.

Pengganti paling sesuai: bukan satu jawapan mudah

Jika kriteria utama ialah kesinambungan dan risiko peralihan rendah, C-130J kelihatan paling sesuai. Jika kriteria utama ialah muatan besar dan jangkauan strategik, A400M lebih kuat. Jika kriteria utama ialah platform generasi baharu dalam kelas sederhana dengan kelajuan tinggi, C-390 wajar dinilai dengan serius.

Bagi Malaysia, jawapan paling munasabah mungkin bukan memilih satu jenis pesawat untuk semua tugas. TUDM sudah mempunyai A400M untuk muatan besar. Maka pengganti C-130 sepatutnya mengisi ruang pesawat angkut sederhana yang fleksibel, ekonomik dan mudah tersedia. Dalam kerangka itu, C-130J mempunyai kelebihan kesinambungan, manakala C-390 mempunyai kelebihan pembaharuan teknologi.

Keputusan akhir perlu berpaksikan beberapa perkara menerusi kos kitar hayat, ketersediaan, latihan, penyelenggaraan tempatan, sokongan alat ganti, kesesuaian dengan HADR, keupayaan mendarat di lapangan terhad dan keserasian dengan pelan pembangunan TUDM.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply