TOKYO, 18 Jun – NEC Corporation menyertai latihan pertahanan siber Locked Shields 2026 anjuran NATO Cooperative Cyber Defence Centre of Excellence (CCDCOE), sekali gus memperkukuh penglibatannya dalam latihan dan kerjasama keselamatan siber antarabangsa.
Menurut NEC, syarikat itu bekerjasama dengan beberapa organisasi rakan bagi menyokong reka bentuk dan pembangunan persekitaran latihan pertahanan siber untuk pasukan Jepun, termasuk sistem rangkaian dan analisis.
Syarikat itu turut menyediakan latihan awal kepada peserta bagi memastikan kerjasama awam-swasta dalam pasukan Jepun dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun semasa latihan utama.
Locked Shields 2026 berlangsung dari 20 hingga 24 April lalu dan menghimpunkan peserta dari kira-kira 40 negara, termasuk negara anggota NATO.
Bagi penyertaan kali ini, Jepun membentuk pasukan bersama Lithuania, melibatkan Kementerian Pertahanan Jepun, agensi kerajaan lain serta organisasi sektor swasta.
Latihan itu bertujuan meningkatkan keupayaan peserta menangani serangan siber masa nyata melalui senario yang hampir dengan keadaan sebenar.
Peserta perlu berdepan insiden siber yang kompleks dan berlaku serentak, merangkumi tindak balas teknikal, pertimbangan undang-undang, pembuatan keputusan strategik serta operasi maklumat.
Menurut CCDCOE, Locked Shields 2026 menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari 41 negara dan melibatkan 16 pasukan multinasional.
Latihan tersebut mensimulasikan serangan terhadap infrastruktur nasional, termasuk grid kuasa, rangkaian 5G, sistem satelit dan sistem pengurusan pertempuran.
Pengarah CCDCOE, Tõnis Saar berkata, ancaman siber kini semakin kerap dan canggih, menyebabkan negara-negara perlu terus membangunkan keupayaan pertahanan siber masing-masing.
“Locked Shields menyatukan kekuatan 41 negara sekutu dan rakan untuk melatih pertahanan siber multinasional dalam senario krisis dan perang,” katanya.
Penglibatan NEC dalam Locked Shields bukan perkara baharu. Pada 2025, syarikat itu turut menyokong reka bentuk dan pembinaan persekitaran latihan untuk pasukan Jepun, termasuk infrastruktur rangkaian dan analisis.
Ketika itu, Jepun membentuk pasukan bersama Australia dalam latihan yang disertai kira-kira 40 negara.
Penglibatan NEC dalam Locked Shields 2026 memberikan faedah tersendiri kepada Jepun dalam menghadapi ancaman keselamatan siber pada masa kini. Gambar: Kementerian Pertahanan Jepun
NEC aktif libatkan kerjasama antarabangsa dalam hadapi ancaman siber
Selain penyertaan dalam Locked Shields, NEC turut memperluas kerjasama keselamatan siber melalui memorandum persefahaman dengan BAE Systems pada 15 Jun lalu bagi menyokong pelaksanaan penyelesaian active cyber defence (ACD) untuk kerajaan Jepun.
Kerjasama itu dibina berdasarkan momentum Japan-UK Strategic Cyber Partnership yang dipersetujui kerajaan Jepun dan United Kingdom pada Januari 2026.
Di bawah memorandum persefahaman tersebut, BAE Systems dan NEC akan menggabungkan kepakaran bagi pembangunan, pelaksanaan dan penyampaian penyelesaian ACD untuk memperkukuh postur keselamatan siber kerajaan Jepun.
Naib Presiden Eksekutif Korporat merangkap Ketua Pegawai Keselamatan NEC Corporation, Noboru Nakatani berkata, peningkatan serangan siber terhadap pihak berkuasa negara dan infrastruktur kritikal memerlukan tindak balas yang lebih proaktif.
“Organisasi kerajaan perlu tahu bahawa mereka mempunyai akses kepada kepakaran teknikal dan operasi terbaik.
“Itulah yang akan disediakan melalui kerjasama kami dengan BAE Systems bagi membolehkan pelaksanaan penyelesaian ACD untuk menyokong daya tahan siber jangka panjang,” katanya.
NEC juga mempunyai rekod dalam latihan bina upaya keselamatan siber serantau.
Pada Oktober 2024, NEC Security, sebuah syarikat kumpulan NEC, dilantik oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun untuk melaksanakan latihan bina upaya keselamatan siber bagi negara-negara Kepulauan Pasifik.
Latihan pertama diadakan di Fiji dari 2 hingga 10 Oktober 2024, melibatkan 29 pengamal keselamatan siber daripada agensi kerajaan dan pengendali infrastruktur kritikal dari 13 negara.
Program itu merangkumi latihan tindak balas insiden selama lima hari selepas peserta menjalani pembelajaran awal secara dalam talian selama lebih sebulan.
NEC memaklumkan penglibatan berterusannya dalam latihan seperti Locked Shields membantu syarikat itu memahami operasi pertahanan siber berskala besar yang memerlukan kerjasama awam-swasta dan penyelarasan antarabangsa.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa perkhidmatan keselamatannya kini berpusat kepada Cyber Intelligence and Operations Center (CyIOC) bagi menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

