KUALA LUMPUR, 1 JUN – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.
“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, saya menasihatkan maka dia tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, perpaduan merupakan asas kekuatan negara dan perlu dipertahankan bagi menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum serta kestabilan negara.
Baginda menyeru rakyat supaya bersatu hati, bertolak ansur, saling menghormati dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara.
“Sering saya tegaskan, perpaduan adalah asas kekuatan negara.
“Oleh itu, bagi menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara, rakyat haruslah bersatu hati, bertolak ansur, saling menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi sejarah hitam negara.
Baginda bertitah, peristiwa rusuhan kaum itu tercetus apabila terdapat pihak yang bertindak keterlaluan menghina orang lain serta hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara.
“Jangan kita lupa dengan sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan menghina orang lain dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini.
“Peristiwa ini telah meruntuhkan perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, Rukun Negara diperkenalkan kerajaan pada 31 Ogos 1970 sebagai aku janji dan ikrar seorang warga Malaysia.
Baginda bertitah, Rukun Negara diperkenalkan bagi membina perpaduan kaum dan menjamin keharmonian masyarakat selepas negara melalui detik hitam tersebut.
“Bagi membina perpaduan kaum dan menjamin keharmonian masyarakat, pada 31 Ogos 1970 kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara sebagai aku janji dan ikrar seorang warga Malaysia,” titah Seri Paduka Baginda.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru semua pihak supaya menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan serta garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.
Baginda bertitah, ikrar Rukun Negara telah dididik kepada rakyat sejak di bangku sekolah dan wajar terus menjadi pegangan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Malah sejak di bangku sekolah lagi, semua pelajar telah dididik untuk membaca ikrar Rukun Negara ini,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada akhir titah, Seri Paduka Baginda turut mendoakan supaya Malaysia terus dilimpahi rahmat keamanan dan kemakmuran, selain rakyatnya terus hidup harmoni, sejahtera dan bersatu padu. – airtimes.my
