PUTRAJAYA, 14 JUL – Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi sebuah Network School di Forest City, Johor.
Langkah tersebut diambil susulan kenyataan daripada Kerajaan Negeri Johor serta kebimbangan orang ramai mengenai dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
“KDN memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan undang-undang imigresen, dan isu penyalahgunaan kemudahan imigresen negara,” jelas dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, siasatan terperinci dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta agensi-agensi berkaitan yang lain.
Fokus semakan merangkumi pengesahan identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan, serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen dan peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Dalam pada itu, KDN turut menjalinkan kerjasama erat dengan kementerian dan agensi berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing
Langkah itu adalah bagi memastikan setiap aspek disemak secara menyeluruh mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,
Pihak Kementerian juga memberikan amaran keras bahawa tindakan tegas tanpa sebarang kompromi akan diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan wujudnya pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu, atau sebarang kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepentingan negara.
“KDN ingin menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang serta boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, sebaliknya memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional, telus, dan berlandaskan undang-undang. -airtimes.my
