KUALA LUMPUR, 14 JUL – DAP Melaka didakwa bakal mengumumkan akan keluar daripada kerajaan negeri petang ini dan meletakkan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam pentadbiran pimpinan Barisan Nasional (BN).
Langkah drastik ini dipercayai sebagai protes terhadap pindaan Perlembagaan Negeri untuk memperkenalkan usul Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan. Pindaan tersebut dijadualkan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Sebelum ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka Allex Seah Shoo Chin membantah usul terbabit. Beliau menegaskan pendirian tersebut menerusi hantarannya di laman media sosial Facebook, hari ini.
Terdahulu, Lim Ban Hong mempersoalkan sama ada Allex Seah menyuarakan bantahan DAP semasa mesyuarat kerajaan negeri. Allex Seah membalas dengan meminta beliau merujuk perkara itu kepada EXCO daripada MCA.
“Gaji tujuh ADUN Lantikan mencecah RM5,040,000 manakala peruntukan pula berjumlah RM8,750,000 bagi tempoh lima tahun. Jumlah ini belum termasuk bayaran emolumen serta jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),
“Lim Ban Hong sepatutnya faham bahawa wakil rakyat wajib dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya,” katanya di laman Facebook rasmi Allex Seah, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan kesediaan MCA Melaka yang didakwa bersetuju membelanjakan wang berjuta-ringgit bagi tujuan tersebut.
DAP Melaka menegaskan pendirian mereka untuk kekal membantah sebarang pengenalan usul ADUN Lantikan di negeri itu. Perkembangan terbaharu ini dijangka bakal mengubah landskap politik pentadbiran kerajaan negeri Melaka. – airtimes.my
