KUALA LUMPUR, 28 MEI – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memuji dan menghormati Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan menyifatkan sebagai pemimpin berani dan pemikir dasar yang mengubah wacana politik negara.
Izzah berkata, segala idea beliau tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau dirinya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia.
“Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran. Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan, dan keadilan ekonomi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Izzah, pemikiran seperti Rafizi akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak.
“Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi,” tambahnya.
Bagaimanapun, Izzah berkata, ke mana pun arah perjalanan Rafizi selepas ini, yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna.
Sementara itu, Izzah turut menyatakan tumpuannya kini adalah pada usaha memperkukuh parti.
“Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik, dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian, sebagai langkah awal akan memperkenalkan latihan wajib, khusus kepada semua pemimpin parti, di peringkat pusat, negeri dan cabang tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram (AMLA), rasuah dan pematuhan cukai.
“Tadbir urus yang baik seharusnya dibina atas asas prinsip dan ilmu yang kukuh,” katanya.
Dalam pada itu, Izzah menyatakan satu tanggungjawab untuk sentiasa saling mengingatkan, bahawa tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang dipegang dan diperjuangkan selama ini.
“Ini penting bagi mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku, serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka,”
“Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” ujarnya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun ini, kurang tiga minggu dari sekarang. -airtimes.my
#Airtimes #IzzahAnwar #RafiziRamli #MenteriEkonomi #letakjawatan #Malaysia