Perancangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menggantikan armada C-130 Hercules kini memasuki fasa penting apabila usia aset sedia ada semakin meningkat.
Pesawat C-130 Hercules terawal yang diterima TUDM kini berusia kira-kira 50 tahun, manakala pesawat termuda pula telah melepasi usia 30 tahun.
Walaupun Hercules masih dianggap sebagai antara pesawat pengangkut taktikal terbaik dunia, faktor usia dan peningkatan kos penyelenggaraan menjadikan penggantian suatu keperluan yang tidak boleh ditangguhkan.
Keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang semakin kompleks turut menuntut platform yang lebih moden, cekap dan berkeupayaan tinggi.
Ketika ini, TUDM mengoperasikan 10 buah pesawat C-130 Hercules dalam beberapa varian yang memainkan peranan penting dalam operasi logistik, bantuan kemanusiaan, penghantaran anggota serta sokongan ketenteraan.
Namun, persoalan utama ialah apakah pesawat yang paling sesuai untuk menggantikan Hercules pada masa hadapan.
C-130H telah lama menjadi tulang belakang operasi pesawat angkut TUDM. /Gambar: FB TUDM
Dua nama yang paling kerap disebut ialah Lockheed Martin C-130J Super Hercules dan Embraer KC-390 Millennium.
C-130J merupakan evolusi terkini keluarga Hercules yang telah membuktikan keupayaannya di seluruh dunia selama beberapa dekad.
Kelebihan terbesar pesawat ini ialah kesinambungan logistik kerana TUDM sudah mempunyai pengalaman luas mengendalikan keluarga Hercules.
Peralihan kepada C-130J tidak memerlukan perubahan besar terhadap latihan kru, prosedur operasi dan infrastruktur sedia ada.
Lebih penting, Malaysia mempunyai syarikat MRO, Airod Sdn. Bhd. (AIROD) yang telah menjadi pusat penyelenggaraan Hercules sejak tahun 1976.
Keupayaan AIROD dalam penyelenggaraan tahap depot, baik pulih struktur dan naik taraf Hercules menjadikan ekosistem sokongan untuk C-130J sudah tersedia.
AIROD mempunyai lebih empat dekad pengalaman dalam penyelenggaraan pesawat tentera, termasuk sebagai penyedia MRO utama bagi pesawat Lockheed C-130 Hercules serta pusat penyelenggaraan diiktiraf oleh Lockheed Martin selama lebih 45 tahun.
Ini memberi kelebihan besar dari segi kos jangka panjang serta ketersediaan pesawat untuk operasi.
C-130J merupakan kesinambungan kepada teknologi pesawat C-130H. /Gambar: 115th Fighter Wing USAF
Selain itu, C-130J terkenal dengan keupayaan beroperasi di landasan pendek, tidak berturap dan kawasan pedalaman yang mencabar.
Keupayaan tersebut amat relevan untuk operasi di Sabah dan Sarawak yang mempunyai banyak kawasan terpencil.
Enjin turboprop C-130J juga lebih menjimatkan bahan api bagi misi jarak jauh dengan muatan penuh.
Sebaliknya, KC-390 Millennium menawarkan pendekatan yang lebih moden dan berorientasikan masa hadapan.
Pesawat buatan Brazil itu menggunakan enjin turbofan yang membolehkannya terbang hampir 30 peratus lebih laju berbanding C-130J.
Kelebihan kelajuan ini membolehkan masa tindak balas dikurangkan dalam misi bantuan bencana, pemindahan perubatan atau penghantaran aset kritikal.
KC-390 juga mempunyai kapasiti muatan yang lebih tinggi, sekitar 26 tan berbanding kira-kira 20 tan bagi C-130J.
Ruang kargo yang lebih luas membolehkan pesawat itu membawa pelbagai jenis kenderaan berperisai dan peralatan yang lebih besar.
Teknologi ‘fly-by-wire’ sepenuhnya turut memberikan kelebihan dari segi keselamatan dan mengurangkan beban kerja juruterbang.
Kemunculan KC-390 pada pameran LIMA 2025 lalu serta minat Embraer terhadap pasaran Malaysia menunjukkan syarikat itu serius untuk menembusi pasaran Asia Tenggara.
Tawaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa serantau juga memberi nilai tambah dari aspek pembangunan industri pertahanan tempatan.
Malah, lawatan Perdana Menteri ke Brazil pada 2025 dilihat membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas antara kedua-dua negara.
Embraer juga giat mencari peluang baharu dalam kalangan pengguna sedia ada pesawat Hercules yang ingin menaik taraf sokongan logistik udara atau menambah keupayaan sedia ada.
Bagaimana pun, pemilihan KC-390 memerlukan pembinaan ekosistem logistik baharu yang pastinya melibatkan kos tambahan pada peringkat awal.
Di pentas global, KC-390 Millenium keluaran Embraer mula mendapat tempat di beberapa buah negara. /Gambar: EMBRAER
Dalam konteks ini, keputusan TUDM sebenarnya bergantung kepada keutamaan strategik negara.
Jika fokus diberikan kepada kesinambungan operasi, penjimatan kos logistik dan keupayaan di landasan ekstrem, maka C-130J dilihat sebagai pilihan paling selamat.
Jika keutamaan diberikan kepada teknologi terkini, kelajuan penghantaran serta kapasiti muatan lebih besar, KC-390 mempunyai kelebihan yang sukar diketepikan.
Namun, terdapat satu lagi pilihan yang mungkin lebih sesuai untuk Malaysia, iaitu menggabungkan kedua-dua platform dalam satu armada masa hadapan.
Gabungan C-130J dan KC-390 mampu memberikan keseimbangan antara keupayaan operasi lasak, kesinambungan logistik, kapasiti strategik dan teknologi moden.
Perolehan sekurang-kurangnya 10 buah pesawat bagi setiap dua model ini dilihat angka yang seimbang.
Ini membolehkan TUDM membentuk armada pengangkut taktikal yang lebih fleksibel untuk memenuhi keperluan operasi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi beberapa dekad akan datang.


