PUTRAJAYA, 25 JUN – Tiga pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dihantar ke Turkiye sebagai Pasukan Projek Multi Purpose Mission Ship Kedua (MPMS 2) bagi memantau pembinaan aset strategik berkenaan.
Pasukan Projek MPMS 2 terdiri daripada Komander Maritim Mohd Zul Fahmi Mohamad; Leftenan Komander Maritim Shah Shiddiqq Abu Bakar dan Leftenan Maritim Mohd Farid Zaini.
Mereka telah berlepas ke Turkiye pada 24 Jun 2026 lalu.
Ketiga-tiga pegawai itu akan bertindak sebagai wakil kerajaan Malaysia bagi memantau setiap fasa pembinaan kapal MPMS 2 sehingga siap sepenuhnya.
Mereka juga bertanggungjawab mengesahkan proses pembinaan serta memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi teknikal, jadual pembinaan dan syarat kontrak yang ditetapkan.
Perolehan MPMS 2 merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk meningkatkan keupayaan aset strategik Maritim Malaysia.
Untuk rekod, kontrak pembinaan kapal berkenaan telah dimeterai dengan Desan Shipyard melibatkan nilai perolehan sebanyak USD83.75 juta.
Perolehan tersebut diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan Kelima Tahun 2025.
Projek tersebut mempunyai tempoh pelaksanaan selama 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.
Kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
Kapal sepanjang 99 meter ini boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 kru serta 30 penumpang.
Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan.
Justeru, kehadiran pasukan projek di Turkiye dijangka memastikan proses pembinaan kapal berjalan lancar dan memenuhi keperluan operasi yang ditetapkan.
Terdahulu, sebagai persediaan penugasan itu, Pasukan Projek MPMS 2 telah mengadakan pertemuan bersama Pengurusan Tertinggi APMM.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksmana Maritim Dato’ Mohd Rosli Abdullah yang turut menyampaikan amanat kepada pasukan berkenaan.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Dalam amanatnya, Mohd Rosli menegaskan kepentingan integriti, disiplin, amanah dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Beliau turut mengingatkan pasukan projek supaya sentiasa menjaga imej, reputasi dan nama baik Maritim Malaysia serta negara sepanjang tempoh penugasan di luar negara.
Menurutnya, penugasan tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan projek perolehan MPMS 2 yang bakal memperkukuh keupayaan operasi dan penguatkuasaan maritim negara.
Sebelum ini, APMM telah membeli kapal MPMS pertama dari Turkiye yang dijangka siap tahun depan dan akan dipamerkan pada LIMA 2027 sebagai mercu tanda APMM. – airtimes.my
