PELABUHAN KLANG, 20 Jun – Pusat Hidrografi Nasional (PHN) mengadakan sambutan Hari Hidrografi Sedunia 2026 bagi menghargai peranan komuniti hidrografi dalam menyokong keselamatan pelayaran dan kepentingan maritim negara.
Ketua Pengarah Hidrografi, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said berkata, sambutan tersebut menjadi platform untuk menghimpunkan komuniti hidrografi nasional yang terdiri daripada agensi kerajaan, industri, akademia dan pihak berkepentingan maritim.
Menurut beliau, bidang hidrografi masih kurang dikenali masyarakat umum, namun memainkan peranan penting dalam memastikan pelayaran selamat, perdagangan maritim lancar, perlindungan alam sekitar marin dan pembangunan ekonomi berasaskan lautan.
“Walaupun bidang ini mungkin tidak begitu dikenali oleh masyarakat umum, hakikatnya hidrografi memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan keselamatan pelayaran, kelancaran perdagangan maritim, perlindungan alam sekitar marin serta pembangunan ekonomi berasaskan lautan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Hidrografi Sedunia 2026.
Hari Hidrografi Sedunia disambut pada 21 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf kepentingan bidang hidrografi kepada komuniti maritim antarabangsa.
Dr Najhan berkata, tema sambutan tahun ini, “Transforming How Ocean Data is Shared”, membawa mesej bahawa data lautan kini bukan lagi sekadar maklumat teknikal untuk navigasi, sebaliknya aset strategik yang menyokong keselamatan negara, pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan, analitik data raya, sistem autonomi dan platform geospatial digital membuka dimensi baharu dalam cara data hidrografi dikumpul, diproses dan dikongsi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa PHN tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada komuniti hidrografi negara.
“Kebersamaan bukan satu lagi pilihan. Kebersamaan adalah satu kemestian,” katanya.
Menurut beliau, sambutan itu turut menjadi ruang untuk memperkukuh hubungan antara PHN dengan agensi serta organisasi berkaitan termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, National Hydrographic Association Malaysia, Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia, Petronas, akademia, industri dan media.
Dr Najhan berkata, PHN juga akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan Blueprint 2050 PHN, perkembangan Akta Hidrografi Negara, pembangunan keupayaan digital, pemodenan aset dan pengurusan tenaga kerja profesional.
Beliau berkata, semua inisiatif itu bertujuan memastikan bidang hidrografi negara terus relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
“Selagi kita kekal bersatu, selagi itulah kita akan mampu melaksanakan amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada kita demi keselamatan maritim, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara,” katanya. – airtimes.my
