Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) belum menetapkan sama ada pesawat pengganti Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) negara pada masa depan akan melibatkan platform generasi 4.5, generasi kelima atau generasi keenam.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, perancangan penggantian pesawat pejuang menjelang 2035 dibuat berdasarkan jangka hayat pesawat sedia ada, termasuk aspek integriti struktur, kebolehselenggaraan dan sokongan kelengkapan.
Menurut beliau, pesawat pejuang seperti F/A-18 yang diperoleh pada 1996 akan semakin menghampiri tahap keusangan menjelang tempoh tersebut, sekali gus memerlukan penilaian menyeluruh terhadap keperluan penggantian.
“Menjelang tahun 2035, kita jangkakan bahawa ini adalah masa di mana kita akan mendapati pesawat pejuang akan mula berhadapan dengan masalah keusangan, masalah dari sudut kebolehselenggaraan, sokongan kelengkapan, dan bermacam-macam lagi isu yang akan timbul,” katanya dalam sidang media sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-68.
Beliau berkata, bahagian perancangan dan pembangunan TUDM sudah mula menjalankan kajian berhubung keperluan penggantian serta penambahan pesawat Light Combat Aircraft (LCA) dan MRCA untuk masa hadapan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan mengenai generasi pesawat yang sesuai masih perlu dinilai secara teliti, termasuk melalui Perbincangan Strategik Tentera Udara (AFST) bersama pegawai tertinggi TUDM.
“Sama ada ia generasi ke-4, ke-5, atau ke-6, itu adalah satu soalan yang besar.
“Saya tidak meletakkan sebarang ketetapan sama ada ia pesawat 4.5, generasi ke-5, atau ke-6 pada masa akan datang, namun ia mestilah memenuhi dan selari dengan dasar pertahanan negara,” katanya.
Panglima TUDM berkata, pemilihan platform masa depan juga perlu mengambil kira dasar negara yang bersifat pertahanan, selain mengelakkan persepsi luar yang tidak selari dengan pendirian Malaysia.
Dalam masa sama, beliau menegaskan perancangan penggantian aset TUDM tidak hanya tertumpu kepada pesawat pejuang, sebaliknya turut melibatkan pesawat angkut seperti C-130 yang sebahagiannya sudah beroperasi sejak kira-kira 50 tahun lalu.
“Sudah tentulah perancangan penggantian sentiasa berjalan. Ia tidak hanya tertumpu pada pesawat pejuang semata-mata.
“Pesawat C-130 yang ada ini pun sudah mencecah usia 50 tahun pengoperasian,” katanya.
Beliau berkata, aset lama masih boleh disenggara selagi berupaya beroperasi dengan selamat, namun terdapat keadaan apabila penggantian dengan aset baharu lebih wajar berbanding meneruskan kos penyelenggaraan yang semakin tinggi.
Menurutnya, pesawat generasi baharu menawarkan kelebihan dari segi teknologi, keupayaan enjin, daya pecutan dan kapasiti muatan, namun semua faktor itu perlu dinilai berdasarkan tuntutan tugas TUDM pada masa hadapan. -airtimes.my
