Home Pertahanan dan Keselamatan LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026 tumpu HADR, SAR dan CyberEx

LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026 tumpu HADR, SAR dan CyberEx

A+A-
Reset

LAMPUNG, 17 Jun – Eksesais LATGABMA MALINDO DARSASA 12AB/2026 memberi tumpuan kepada latihan Humanitarian Aid and Disaster Relief (HADR), Search and Rescue (SAR) serta Cyber Exercise (CyberEx) melalui senario berasaskan bencana gempa bumi dan tsunami di Sumatera Selatan.

Latihan gabungan Malaysia-Indonesia itu dirasmikan di Ballroom Bukit Randu Holiday Inn, Lampung, Indonesia, dengan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan beberapa agensi berkaitan pengurusan bencana.

Seramai 719 peserta terlibat dalam eksesais berkenaan, terdiri daripada 463 anggota TNI, 150 anggota ATM, dua wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 25 anggota Polis Republik Indonesia (POLRI) serta 79 peserta daripada agensi Indonesia.

Agensi Indonesia yang terlibat termasuk Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Taruna Siaga Bencana (TAGANA), Palang Merah Indonesia (PMI) dan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD).

Menurut Markas Angkatan Bersama (MkAB) dalam satu kenyataan, pemilihan Lampung sebagai lokasi eksesais berkait rapat dengan konsep latihan kali ini kerana provinsi tersebut terletak di kawasan pertemuan tiga lingkaran plat tektonik aktif dunia.

Senario eksesais dibangunkan berdasarkan pengalaman sebenar bencana gempa bumi dan tsunami yang pernah melanda Indonesia, khususnya di Sumatera Selatan.

Latihan kali ini turut memberi penekanan kepada Staff Exercise (STAFFEX), Field Training Exercise (FTX), Force Integration Training (FIT), Engineering Civil Action Programme (ENCAP), Medical Civic Action Programme (MEDCAP) dan CyberEx.

STAFFEX merangkumi 10 senario utama termasuk tindak balas awal bencana, insiden korban besar, runtuhan infrastruktur, kecemasan perubatan, bantuan antarabangsa, serangan siber, peperangan maklumat, pemindahan besar-besaran, fasa penstabilan dan fasa peralihan.

FTX pula menumpukan integrasi pasukan melibatkan ATM, TNI dan agensi Indonesia dalam latihan HADR serta SAR, termasuk ikatan dan simpulan tali, rappelling, tindakan kecemasan serta pembinaan rumah sakit lapangan.

Bagi komponen ENCAP, eksesais itu melibatkan pembaikan dua Rumah Tidak Layak Huni (RTLH) di Kampung Sukamaju serta pembinaan jalan konkrit di Kampung Keteguhan.

MEDCAP pula dilaksanakan di Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) di kedua-dua kampung berkenaan, merangkumi pemeriksaan kesihatan umum, mata dan gigi, pemberian kacamata percuma, kelas CPR, khidmat kaunseling serta program derma darah.

Segmen CyberEx memberi tumpuan kepada latihan teknikal termasuk recon, enumeration, credential attack, man-in-the-middle (MITM), spoofing dan manipulation feed.

Dalam ucapan pembukaan, Brigedier Jeneral Dato’ Zamri bin Othman, Panglima 1 Briged Infantri selaku Ketua Kelompok Perancang Latihan ATM berkata, eksesais itu mempunyai nilai strategik kepada kedua-dua angkatan tentera.

“Latihan ini mempunyai nilai strategik yang amat besar. Selain menguji konsep operasi gabungan melibatkan domain darat, maritim dan udara, ia turut menyediakan platform untuk meningkatkan kesefahaman terhadap prosedur operasi, memperkukuhkan koordinasi serta membina keyakinan antara anggota kedua-dua angkatan tentera,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa persekitaran keselamatan semasa semakin kompleks dengan ancaman bukan tradisional termasuk jenayah maritim, penyeludupan, keganasan, ancaman siber dan bencana alam.

Eksesais LATGABMA MALINDO DARSASA bermula sejak 1984 melalui General Border Committee (GBC) Malaysia-Indonesia dan Jawatankuasa Latihan Bersama Malaysia-Indonesia (JKLB MALINDO).

Eksesais siri ke-12 itu dilaksanakan secara bergilir antara Malaysia dan Indonesia setiap tiga tahun, dengan edisi terakhir diadakan di Pekan, Pahang pada 2023 berkonsepkan anti keganasan (counter-terrorisme).

Eksesais selama 13 hari itu dikoordinasikan oleh Markas Angkatan Bersama dan diselia oleh Asisten Ketua Staf J7, Laksamana Pertama Mohd Adzam Omar selaku Ketua Tim Sekretariat Eksesais dari Bahagian Eksesais J7 Markas Angkatan Bersama.

Majlis pembukaan disempurnakan oleh Brigedier Jeneral TNI Ade David Siregar yang hadir mewakili Asisten Operasi Panglima TNI. – airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)IndonesiaLATGABMA MALINDO DARSASAMalaysiaMarkas Angkatan BersamaTentara Nasional Indonesia

Leave a Reply