PARIS, 16 Jun — Kementerian Pertahanan Malaysia menempah 18 sistem artileri CAESAR daripada KNDS, sekali gus menandakan perolehan baharu bagi memperkukuh keupayaan artileri Angkatan Tentera Malaysia.
Menurut KNDS, pesanan itu dimeterai pada Selasa sempena pameran pertahanan dan keselamatan antarabangsa Eurosatory 2026, dengan penglibatan rakan industri tempatannya, Advanced Defense System (ADS Sdn Bhd).
Kontrak berkenaan turut merangkumi pemberian lesen bagi pemindahan teknologi dan pemasangan sistem tersebut di Malaysia.
Dengan perolehan itu, Malaysia menjadi negara ke-15 memperoleh sistem artileri CAESAR, yang menurut KNDS telah mencatatkan 800 unit ditempah atau diserahkan di seluruh dunia.
Sistem artileri gerak sendiri itu berupaya melepaskan enam das dalam tempoh kurang satu minit pada jarak 40 kilometer, selain boleh berpindah kedudukan dalam tempoh kurang dua setengah minit.
KNDS menyatakan, pesanan 18 sistem CAESAR dalam konfigurasi rejimen itu menyumbang kepada pengukuhan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia.
Syarikat itu turut memaklumkan, program pemindahan kepakaran dan penyetempatan industri bersama ADS selari dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), yang bertujuan membangunkan industri pertahanan negara secara autonomi, mampan dan berdaya tahan.
“Kami berbangga dapat menyokong Tentera Darat Malaysia menerusi pembekalan sistem artileri bertaraf dunia yang memenuhi piawaian operasi tertinggi.
“Pencapaian baharu dalam kerjasama KNDS dengan Malaysia ini mencerminkan komitmen kami untuk terus menyokong rakan kongsi dalam membangunkan keupayaan pertahanan mereka bagi jangka panjang, selain memenuhi keperluan dari segi pembangunan industri tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KNDS France, Nicolas Groult.
Penantian perolehan SPH akhirnya berakhir di Eurosatory 2026. Malaysia menjadi negara ke-15 menggunakan sistem CAESAR. Gambar: KNDS
Menurut KNDS, kerjasama syarikat itu dengan Malaysia turut merangkumi perkongsian strategik pada 2018 bagi pembekalan dan pemasangan tempatan meriam ringan tunda 105LG.
CAESAR merupakan sistem artileri gerak sendiri beroda berkaliber 155mm/52 kaliber yang direka untuk melaksanakan tembakan jarak jauh dengan tahap mobiliti tinggi. Sistem itu boleh menggunakan peluru standard NATO, termasuk munisi jarak lanjut dan munisi pintar bergantung kepada konfigurasi serta jenis peluru yang digunakan.
Berdasarkan spesifikasi KNDS bagi CAESAR 6×6 Mk2, sistem itu dikendalikan oleh kru antara tiga hingga lima anggota, mempunyai kelajuan jalan raya melebihi 80 kilometer sejam dan jarak operasi melebihi 600 kilometer. Sistem berkenaan juga dilengkapi unit navigasi inersia, radar halaju muncung, komputer balistik serta boleh diintegrasikan dengan sistem perintah dan kawalan tembakan.
CAESAR turut dibangunkan berasaskan konsep “shoot-and-scoot”, iaitu melepaskan tembakan dan segera meninggalkan kedudukan bagi mengurangkan risiko terkena tembakan balas. Bagi CAESAR 6×6 Mk2, KNDS menyatakan sistem itu boleh masuk kedudukan tembakan dalam tempoh kurang 45 saat dan keluar dari kedudukan dalam tempoh kurang 40 saat.
Di peringkat global, CAESAR telah digunakan dalam beberapa persekitaran operasi sebenar, termasuk konflik berintensiti tinggi. Kementerian Pertahanan Ukraine menyatakan sistem itu menjadi antara aset artileri penting dalam operasi negara berkenaan, dengan penekanan kepada mobiliti, ketepatan dan kawalan tembakan digital.
Perancis turut menjadikan CAESAR sebagai sebahagian daripada sokongan artileri kepada Ukraine sejak 2022. Kementerian Angkatan Tentera Perancis sebelum ini memaklumkan bahawa kira-kira 30 sistem CAESAR telah disumbangkan kepada Ukraine, manakala program pengeluaran baharu dilaksanakan bagi menggantikan semula inventori Tentera Darat Perancis.
Di rantau ASEAN, CAESAR kini digunakan atau ditempah oleh sekurang-kurangnya tiga negara iaitu Indonesia, Thailand dan Malaysia. Indonesia merupakan pengguna terbesar CAESAR di Asia, dengan 56 sistem berada dalam perkhidmatan Tentara Nasional Indonesia.
Thailand pula merupakan antara pengguna awal CAESAR di rantau ini, dengan enam sistem disenaraikan sebagai sebahagian daripada komuniti pengguna CAESAR. Dengan pesanan 18 sistem oleh Malaysia, rantau ASEAN kini mempunyai tiga pengguna sistem artileri gerak sendiri beroda buatan Perancis itu. – airtimes.my

