Perlumbaan senjata aeroangkasa di pentas global kini memasuki fasa baharu yang sangat kritikal bagi kelangsungan kuasa besar tentera dunia. Amerika Syarikat pada hari ini bukan sahaja sekadar berlumba untuk memecahkan rekod kelajuan hipersonik, malah mereka kini semakin menumpukan perhatian kepada kemampuan pengeluaran peluru berpandu tersebut secara besar-besaran untuk kegunaan operasi medan tempur.
Menghadapi realiti cabaran perindustrian moden ini, syarikat pertahanan gergasi Lockheed Martin telah mengumumkan pembangunan senjata badan peluncur hipersonik generasi baharu yang dikenali sebagai Next Generation Glide Body (NXGB).
Senjata peluncur berteknologi tinggi yang diperkenalkan kepada umum pada Jun 2026 ini membawa satu matlamat strategik yang cukup jelas untuk masa depan ketenteraan. Pembangunan projek ini bukanlah satu usaha murni untuk sekadar mengejar kelajuan penerbangan melebihi Mach 5 semata-mata.
Sebaliknya, pembinaan NXGB disasarkan untuk mengurangkan kos pembuatan dan meningkatkan keupayaan pengeluaran secara besar besaran aset pertahanan Amerika Syarikat.
Sistem ini turut dilihat sebagai antara pendekatan bagi meningkatkan inventori senjata hipersonik Amerika Syarikat untuk membina kembali saiz inventori persenjataan strategik mereka agar dapat sepadan dengan skala ancaman kuasa besar lain terutamanya di kawasan geostrategik seperti teater maritim Indo-Pasifik.
Evolusi Sistem Persenjataan
Sejarah awal pembangunan program senjata hipersonik Amerika Syarikat telah didorong oleh kehendak untuk memiliki teknologi persenjataan yang paling canggih di dunia. Pendekatan ini melahirkan sistem yang canggih dari segi spesifikasi teknikal tetapi membawa bersama tanda harga yang sangat tinggi.
Sebagai contoh, beberapa program peluru berpandu hipersonik Amerika Syarikat dianggarkan menelan kos puluhan juta dolar bagi setiap unit. Kos perolehan yang terlalu tinggi ini bermakna pihak tentera Amerika Syarikat mengehadkan jumlah senjata yang boleh diperoleh.
Dalam konteks doktrin peperangan berintensiti tinggi masa kini, pihak tentera tidak boleh hanya bergantung kepada segelintir senjata eksklusif yang bertaraf prototaip. Kekurangan peluru berpandu di dalam simpanan inventori nasional adalah satu kelemahan strategik yang amat bahaya.
Jika sesuatu konflik besar tercetus, bekalan senjata yang serba canggih ini akan habis digunakan dalam tempoh masa singkat sahaja tanpa ada sebarang jalan mudah untuk pihak kilang mengeluarkan aset pengganti.

Usaha membangunkan sistem hipersonik generasi baharu kini turut memberi penekanan kepada pengeluaran berskala besar, pengurangan kos dan peningkatan kesiapsiagaan operasi. Foto: U.S. Department of War
Kuantiti yang lebih diutamakan
Bagi menyelesaikan masalah kekurangan kuantiti pengeluaran, Lockheed Martin telah mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan proses rekaan inovatif yang memfokuskan kepada kemampuan pengeluaran massa. Mereka tidak lagi mereka bentuk sebuah senjata yang rumit dan menelan kos perbelanjaan yang terlampau tinggi.
Melalui inisiatif NXGB ini, syarikat Lockheed Martin terlebih dahulu menilai tahap kemampuan sebenar jentera kilang dan kapasiti rantaian bekalan alat ganti yang sedia ada di seluruh negara.
Selepas kapasiti pembuatan industri ini dikenal pasti secara mendalam, barulah reka bentuk kenderaan peluncur NXGB itu disesuaikan dengan kemampuan mesin kilang tersebut. Falsafah rekaan berpandukan sistem pembuatan ini bertujuan untuk memastikan senjata berkenaan mengurangkan kebergantungan terhadap komponen khas yang sukar diperoleh di pasaran terbuka.
Pendekatan pintar ini membolehkan senjata hipersonik moden dikilangkan secara berterusan seperti barisan pengeluaran kenderaan komersial biasa, lantas menjamin kelangsungan bekalan peluru berpandu untuk kegunaan tentera tanpa sebarang gangguan logistik dan kos yang membebankan.
Fleksibiliti reka bentuk modular
Satu lagi elemen teknologi yang menjadikan NXGB sangat bernilai kepada perancangan masa depan Amerika Syarikat adalah seni bina sistemnya yang bersifat terbuka dan modular.
Berbeza dengan doktrin lama yang mewajibkan penciptaan peluru berpandu berasingan untuk kegunaan cawangan tentera darat dan juga armada tentera laut, struktur badan peluncur NXGB direka supaya ia kekal relevan untuk dilancarkan melalui pelbagai jenis platform pelancar yang berbeza.
Badan peluncur tunggal yang sama boleh digandingkan bersama roket penggalak untuk dilancarkan daripada trak mobiliti tinggi milik pihak Tentera Darat Amerika Syarikat.
Pada masa yang sama, reka bentuk modular membolehkan badan peluncur disesuaikan dengan pelbagai platform pelancar bagi membolehkan peluru berpandu pintar ini dimuatkan ke dalam sistem pelancar menegak di atas kapal permukaan dan kapal selam Tentera Laut Amerika Syarikat.
Fleksibiliti ini menjimatkan kos pengeluaran kerana pihak tentera tidak lagi perlu menyelenggara pelbagai jenis ekosistem persenjataan yang berlainan untuk mencapai objektif kemusnahan sasaran yang sama.

Perkembangan teknologi peluru berpandu hipersonik terus menjadi antara keutamaan dalam pemodenan keupayaan pertahanan dan cegah rintang strategik. Foto: Getty Images
Keseimbangan kuasa di Indo-Pasifik
Walaubagaimanapun, pembangunan sistem NXGB tidak boleh dipisahkan daripada realiti cabaran geopolitik dan persaingan ketenteraan di rantau maritim Indo-Pasifik. Kini, beberapa negara pesaing utama telah mengambil langkah proaktif yang jauh lebih pantas untuk memasukkan skuadron peluru berpandu peluncur ke dalam unit operasi barisan hadapan mereka.
Mereka bukan sahaja memiliki kelajuan senjata peluncur yang tinggi tetapi turut memiliki kapasiti pengeluaran logistik yang membolehkan mereka melancarkan serangan hipersonik ini secara serentak ke arah sasaran strategik maritim.
Bagi mengembalikan tahap keseimbangan kuasa, tentera Amerika Syarikat juga memerlukan kemampuan untuk melancarkan serangan berpusat secara bertubi-tubi. Kelajuan objek yang membelah ruang atmosfera melebihi kelajuan Mach 5 dijangka berpotensi meningkatkan keupayaan untuk menembusi sistem pertahanan udara moden.
Apabila ia dihasilkan dalam kuantiti peluru yang banyak dengan kos yang berpatutan, tentera Amerika Syarikat kini mampu membanjiri ruang udara pertahanan musuh melalui taktik serangan bersepadu, sekali gus meningkatkan kebarangkalian untuk menembusi pertahanan musuh yang berlindung di sebalik sistem antipeluru berpandu moden.
Anjakan pertahanan strategik global
Pengenalan badan peluncur NXGB oleh pihak Lockheed Martin ini menandakan satu detik perubahan mentaliti yang amat besar di dalam rantaian perolehan ketenteraan Amerika Syarikat. Ia membuktikan bahawa memiliki kualiti teknologi persenjataan yang paling berkuasa tinggi sahaja sudah tidak relevan jika ia tidak disokong oleh kapasiti pengeluaran yang murah dan pantas.
Konsep menjadikan “Quantity has a quality all its own” kini telah diterapkan ke dalam DNA rekaan senjata aeroangkasa hipersonik, merubah status peluru berpandu ini daripada sebuah prototaip makmal bertaraf elit kepada peluru standard ruji medan pertempuran.
Persoalan ini hanya akan terjawab sama ada pendekatan ini benar benar mampu meningkatkan inventori senjata hipersonik Amerika Syarikat hanya akan dapat dinilai apabila NXGB memasuki fasa pengeluaran dan perkhidmatan operasi pada tahun tahun akan datang.










