KUALA LUMPUR, 7 MAC – Kerajaan digesa untuk tarik balik kewarganegaraan individu yang telah menghina ibadah solat secara terbuka.
Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan tindakan sedemikian perlu dilakukan kepada individu berkenaan sebagai peringatan kepada yang lain.
“Jadi pada saya orang yang cakap macam sebegini di luar negara, yang merasakan dia hebat sehingga kan IGP (Ketua Polis Negara) terpaksa jawab dia (individu terbabit) di luar negara, susah nak dapat dia, dia merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab,
“Saya mintalah supaya KDN (Kementerian Dalam Negeri) menarik balik status dia sebagai warga negara Malaysia,
“Itu lebih baik supaya sesiapa sahaja warga negara kita di luar negara tidak lagi berani bercakap yang bukan-bukan,” kata Hamzah dalam satu hantaran video di akaun media sosial rasmi beliau.
Menurut Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, pihak KDN bukan sahaja bertanggungjawab dalam bahagian keselamatan dalam negeri tetapi turut mempunyai kuasa tentang kewarganegaraan seseorang.
Beliau mengulas video tular di media sosial yang memaparkan oleh seorang individu yang menghina ibadah solat umat Islam dengan kata-kata kesat.
Video berdurasi 3 minit 49 saat itu telah pun dipadam dari pemilik akaun terbabit namun ia telah dimuat turun oleh warganet yang menggesa individu terbabit membuat penjelasan serta permohonan maaf.
Semalam, media tempatan memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain yang menyatakan video terbabit sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia.
Selain itu, beliau menyatakan satu laporan polis telah dibuat di Pahang berhubung video terbabit.
“Berdasarkan laporan, video itu memaparkan beberapa individu mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina umat agama Islam dan ia telah dimuat naik semalam, dipercayai dihasilkan ekoran isu melibatkan penyampai radio yang didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu,
“Bagaimanapun video itu telah dipadam selepas menerima kecaman orang ramai. Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada,” kata Ketua Polis Negara dalam satu laporan oleh Bernama.
Dalam perkembangan hari ini, Ketua Polis Negara menyatakan individu berkenaan berada di luar negara. – airtimes.my