Home Pertahanan dan Keselamatan 2 Pegawai Memerintah antara gugur dalam nahas di Lumut

2 Pegawai Memerintah antara gugur dalam nahas di Lumut

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Pegawai Memerintah Skuadron 502 dan Skuadron 503 adalah antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, pagi tadi.

Menerusi satu kenyataan, TLDM mengesahkan, mereka ialah Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli dan Komander Muhamad Amir Mohamad.

Katanya, 2 pegawai berpangkat Leftenan Komander turut terkorban, masing-masing Allahyarham Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin dan Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi.

“Selain itu, mangsa yang terkorban ialah mendiang Leftenan T Sivasutan; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

“Nahas turut mengorbankan 3 penumpang, masing-masing Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kelas I JJM, Joanna Felicia anak Rohna,” kata TLDM dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, TLDM memaklumkan, pengurusan jenazah akan dilaksanakan dalam masa terdekat mengikut tradisi tentera laut.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 akan dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat untuk mangsa yang terkorban.

“Sambutan (Hari TLDM) kita batalkan, kita gantikan dengan majlis tahlil dan doa selamat pada hari Jumaat ini,

“Pembatalan ini adalah perkenan dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM,

“Semua acara yang melibatkan Sambutan hari Ulang Tahun TLDM ke-90 dibatalkan, seperti yang dititah Baginda Sultan Selangor,” ujarnya kepada pemberita. -airtimes.my

#pertahanan #TLDM #Lumut #airtimes

Related Articles

Leave a Reply