LANGKAWI, 23 MEI – Sebuah trak 3-tan milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dimaklumkan mengalami hilang kawalan dan terbabas, pada petang Jumaat.
Kenderaan yang membawa seramai 25 petugas Demonstrasi Segmen Maritim LIMA ’25 itu dalam perjalanan balik dari Masjid Al Ehsan Temonyong, menuju ke Resorts World Langkawi setelah selesai mengerjakan solat Jumaat.
Menurut saksi di tempat kejadian, dua petugas mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi bagi menerima rawatan lanjut.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan kesemua 25 petugas yang terlibat dibawa ke bilik perubatan ‘Segmen Maritim’ berdekatan untuk menerima rawatan.
Sementara itu, petugas Air Times News Network yang berada di lokasi kejadian, mendapatkan maklumat lanjut dan mendapati lima buah kenderaan awam turut terlibat dalam kemalangan tersebut.
Sehubungan itu, pihak TLDM menubuhkan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan. – airtimes.my
#AirTimes #TLDM #LIMA25 #Langkawi #Malaysia