BELGRADE, 2 SEPT – Kerajaan Serbia telah meterai kontrak pembelian 12 buah jet pejuang Dassault Rafale dari Perancis.
Pihak pengeluar Rafale, Dassault Aviation dalam satu kenyataan berkata, kontrak tersebut dimeterai semasa lawatan wakil kerajaan Serbia ke Perancis.
“Kontrak tersebut telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Republik Serbia dan Dassault Aviation,
“Majlis menandatangani kontrak telah disaksikan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dengan rakan sejawatannya dari Serbia, Aleksandar Vučić,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, kontrak itu telah dimeterai pada akhir Ogos lalu.
“Kontrak perolehan ini memberikan gambaran penting tentang kepentingan hubungan dua hala antara Perancis dan Serbia,
“Selain itu, ia turut memberikan bukti bahawa pemimpin dari kedua-dua negara telah berusaha bagi memastikan kerjasama di antara Perancis dan Serbia terus diperkukuh,
“Selain itu, ia membuktikan bahawa Rafale merupaka salah satu vektor yang penting dalam mempertingkatkan pertahanan sesebuah negara,” jelas Dassault Aviation.
Difahamkan peroleh ini melibatkan Rafale F4 tetapi tidak mempunyai keupayaan kecerdasan buatan (AI). Pembelian oleh negara Balkan ini dijangka akan siap pada tahun 2029.
Pada ketika ini, Tentera Udara Serbia mengoperasikan 14 buah jet pejuang MiG-29SM dan Soko J-22.
Secara tidak langsung, perolehan Rafale dari Perancis oleh Serbia dilihat sebagai titk perubahan trend di dalam negara-negara yang pernah mengoperasikan jet-jet pejuang dari Kesatuan Soviet/Rusia beralih ke arah teknologi Eropah.
Tambahan pula, Serbia pernah dilihat sebagai ‘adik angkat Rusia’ pada satu ketika dahulu. Namun begitu, Presiden Serbia, Aleksandar Vučić menafikan perkara tersebut dan menegaskan negaranya akan menyertai Kesatuan Eropah.
Sebuah lagi negara Balkan, Croatia, telah menyatakan pasukan tentera udaranya telah menerima 6 daripada 12 buah jet pejuang Rafale yang terpakai dari Perancis.
Pembelian oleh Croatia merupakan langkah modenisasi angkatan udara negara itu yang telah menamatkan khidmat jet pejuang MiG-21.
Pada ketika ini, kesemua Rafale yang dibeli oleh Croatia menjadi tonggak tunggal kekuatan udara negara itu. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan #Rafale #Dassault