Dalam landskap geopolitik global masa kini yang semakin diwarnai dengan persaingan oleh kuasa- kuasa besar, rantaian bekalan pertahanan antarabangsa tidak lagi beroperasi sebagai sebuah sistem perdagangan bebas, namun sebaliknya berubah menjadi instrumen paksaan diplomatik.
Bagi negara membangun seperti Malaysia, konsep pertahanan iaitu keupayaan mandiri dalam membina, menyelenggara, dan menginovasi aset keselamatan bukan lagi satu kemewahan strategik, sebaliknya merupakan prasyarat mutlak bagi menjamin kelangsungan kedaulatan negara.
Konsep kemandirian ini diuji secara realistik susulan pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) secara sepihak (unilateral) oleh kerajaan Norway baru-baru ini. Kementerian Luar Norway menjustifikasikan keputusan drastik tersebut dengan merujuk kepada perubahan landskap keselamatan di benua Eropah serta di peringkat global.
Ia berikutan pelaksanaan dasar baharu negara tersebut mengehadkan pengeksportan teknologi pertahanan sensitif secara ekslusif hanya kepada sekutu rapat dan rakan strategik terdekat sahaja. Walaupun kerajaan Malaysia mempunyai komitmen yang teguh dengan melunaskan bayaran setakat 95 peratus daripada nilai kontrak (melibatkan kos langsung sebanyak 126 juta Euro), permit tersebut tetap dibatalkan pada saat akhir.
Insiden ini mendedahkan kelemahan yang kritikal dalam perancangan pemerolehan aset negara, di mana pematuhan kepada instrumen perundangan kontrak komersial tidak lagi menjamin penerimaan aset ketenteraan yang telah dibayar.
Ini sekali gus, telah menjejaskan keupayaan tempur permukaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Jelas ia mencerminkan bahawa kelengkapan pertahanan negara kini terdedah dengan risiko yang boleh melumpuhkan, serta keterjejasan kepada rantaian terhadap keupayaan operasi maritim Malaysia, sekiranya dasar pentadbiran kuasa asing berubah.
Inspirasi Kebangkitan Turkiye: Mengubah Sekatan Menjadi Kekuatan
Sejarah tekanan geopolitik terhadap Republik Turkiye yang dieksploitasi oleh Ankara, menyediakan penanda aras empirikal yang ideal bagi Malaysia. Sejarah membuktikan bahawa tekanan, sekatan, dan embargo senjata daripada kuasa antarabangsa boleh diterjemahkan sebagai mangkin radikal untuk membangunkan ekosistem industri pertahanan domestik yang mampan.
Pengalaman pahit Turkiye bermula akibat sekatan senjata (ars embargo) yang dikenakan oleh Amerika Syarikat susulan Operasi Keamanan Cyprus pada tahun 1974, yang mendedahkan kelemahan logistik dan komunikasi tentera mereka tanpa ihsan alat ganti daripada Washington.
Kitaran tekanan ini berulang dengan lebih agresif dalam era moden apabila Turkiye disasarkan dengan sekatan di bawah Akta Menentang Musuh Amerika Melalui Sekatan (CAATSA) berikutan perolehan sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia. Selain itu, rantaian pengeluaran dron teknologi Turkiye berdepan krisis kritikal apabila Kanada membatalkan eksport penderia elektro-optik Wescam pada 2020 akibat penglibatan dron buatan Turkiye dalam konflik Nagorno-Karabakh.
Tekanan bertali arus ini bertindak sebagai inkubator evolusi. Turkiye melaksanakan reformasi tadbir urus dengan menaik taraf agensi perolehan mereka menjadi Presidensi Industri Pertahanan (SSB) pada tahun 2018, meletakkannya secara eksklusif di bawah bidang kuasa langsung Pejabat Presiden. SSB menguruskan dana luar belanjawan (off-budget) bagi menyuntik kapital ke dalam lebih 800 projek berteknologi tinggi pada satu-satu masa tanpa kekangan birokrasi kementerian biasa.
Selain itu, Yayasan Mengukuhkan Angkatan Tentera Turkiye (TSKGV) ditubuhkan untuk mengawal entiti pertahanan rintis seperti ASELSAN, HAVELSAN, dan TUSAÅž. Melalui model ini, keuntungan besar yang dijana di pasaran antarabangsa dikitar semula ke dalam usaha sama penyelidikan dan pembangunan (R&D) nasional.
Sinergi Malaysia-Turkiye dan potensi rangkaian tempatan

Mencontohi kejayaan Turkiye, Malaysia mengambil pendekatan dengan merangka diplomasi pertahanan menerusi jalinan pemindahan teknologi. Sinergi awal ini terbukti dalam industri auotomotif ketenteraan melalui perolehan kenderaan tempur beroda 8×8 AV8 Gempita, hasil kolaborasi antara syarikat tempatan DEFTECH dan FNSS Defence Systems dari Turkiye.
Di samping itu, pemain industri aeroangkasa Malaysia, AIROD Sdn Bhd, turut memeterai Perjanjian Rangka Kerja Kolaborasi (CFA) bersama syarikat milik Turkiye, ASFAT Inc. bagi perkongsian perkhidmatan teknikal kelangsungan platform seperti A400M, CN-235, serta C-130 Hercules.
Malaysia sebelum peluncuran dasar berskala penuh, sebenarnya telah memiliki portfolio pembuat tempatan yang kukuh. Ini terbukti melalui kredibiliti syarikat SME Ordnance (SMEO) dalam penghasilan amunisi dan persenjataan, kepakaran pembuatan struktur aerokomposit termaju oleh Composites Technology Research Malaysia (CTRM) untuk pasaran Airbus dan Boeing, serta pembinaan armada bot pemintas laju (FIC) kelas G2000 oleh Gading Marine Industry Sdn Bhd bagi menjamin perairan darat negara.
Merealisasikan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN)
Langkah-langkah penyusunan serantau yang berinspirasikan Turkiye serta himpunan potensi gergasi tempatan ini menjadi pemangkin konseptual yang mencetuskan keperluan kepada pembentukan polisi holistik. Bagi menterjemahkan matlamat kemandirian pertahanan menjadi pelan tindakan fizikal, Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) telah diluncurkan secara rasmi pada 21 Januari 2026.
DIPN dikuatkuasakan dengan mandat reformasi struktur pemerolehan yang amat melindungi rantaian bekalan tempatan. Dasar ketegasan ini meletakkan syarat mandatori di mana setiap kontrak perolehan aset dari negara asing mestilah memasukkan minimum 30 peratus sumbangan kandungan tempatan (local content).
Lebih kritikal, kerajaan mengenakan sekatan mutlak bagi menghalang wakil syarikat pengeluar asing (OEM) daripada terus memonopoli industri Penyelenggaraan, Pembaikan, dan Baik Pulih (MRO) apabila tempoh waranti peralatan tamat. Kontrak pasca-waranti ini akan dipilih dan dilanggan secara eksklusif oleh penggiat perkhidmatan tempatan, memastikan berbilion dana pusingan dalam negeri kekal berkembang.
Komitmen Strategik Malaysia-Turkiye

Dalam memperkukuh hala tuju ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menzahirkan iltizam tinggi Malaysia terhadap kerjasama pertahanan yang lebih mendalam bersama Turkiye. Menurut beliau, Malaysia melihat perkongsian ini dengan penuh optimisme dan tekad yang jelas untuk memperkasakan industri pertahanan tempatan.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia memandang kerjasama antara kedua-dua negara ini penuh optimis, menjangkaui projek-projek sedia ada kepada inisiatif-inisiatif berpotensi yang lain, serta meluaskan lagi skop kerjasama pertahanan secara menyeluruh.
Natijahnya, menerusi pelaksanaan gagasan ini seharusnya kedaulatan mana-mana negara tidak wajar lagi dipusatkan pada instrumen perundangan pembelian negara asing. -airtimes.my
