Home Pertahanan dan KeselamatanMALBATT 850-13 selamat, status amaran ditingkatkan ke tahap ‘Merah’ susulan insiden mortar

MALBATT 850-13 selamat, status amaran ditingkatkan ke tahap ‘Merah’ susulan insiden mortar

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 5 JUN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas susulan insiden bedilan mortar di kawasan UNP 7-2 (SPANBATT) Sektor Timur pada Rabu sekitar jam 11.20 malam waktu tempatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas ATM hari ini, insiden tersebut telah mengakibatkan tiga anggota pengaman Spanish Battalion (SPANBATT) cedera, dengan salah seorang daripadanya disahkan terkorban pada pagi semalam.

Sebagai tindak balas taktikal terhadap perkembangan ini, profil keselamatan dan perlindungan pangkalan bagi kontinjen MALBATT 850-13 telah ditingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi iaitu Status Level Red. Susulan daripada itu, seluruh pergerakan rondaan telah digantung sementara waktu dan pasukan kini beroperasi di bawah Prosedur Operasi Standard (SOP) serta Rules of Engagement (ROE) pertahanan yang paling ketat seperti yang digariskan oleh Markas UNIFIL.

Dalam pada itu, ATM menegaskan pendirian mutlak bahawa sebarang bentuk serangan, termasuk tembakan tidak langsung (indirect fire) ke atas pasukan pengaman adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Pihak ATM melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) kini terus memantau situasi operasi secara berterusan bagi menjamin tahap keselamatan tertinggi buat setiap perajurit negara yang sedang menggalas mandat di zon konflik berkenaan.

Selain itu, Kerajaan Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga perwira SPANBATT yang gugur serta keluarga dan Kerajaan Serbia di atas kehilangan nyawa seorang anggota pasukan pengaman Serbia yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa di Lubnan (UNIFIL) pada 4 Jun 2026 akibat kecederaan yang dialami berikutan insiden berhampiran Marjayoun, selatan Lubnan pada 3 Jun 2026.

Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB. Keganasan yang berterusan dan serangan terhadap pasukan pengaman serta orang awam ini berpunca secara langsung daripada pencabulan Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, dan tidak boleh dijustifikasi dalam apa keadaan jua.

Malaysia menggesa agar keganasan ini dihentikan dan menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan orang awam di Lubnan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply