KUALA LUMPUR, 26 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melakukan penerbangan ihsan membawa seorang warga emas yang mengalami masalah jantung dari Kota Bharu ke Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Pesakit, Kamariah Deraman, 65, yang dipindahkan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ke IJN, perlu menjalani pembedahan dengan segera kerana risiko saluran darah besar di thorasik pecah (Aortic Aneurysym Rupture).
“Pesakit itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan ke Pangkalan Udara Subang, Selangor menggunakan pesawat TUDM jenis CN 235 yang berlepas jam 12.40 tengah hari dan selamat tiba jam 1.30 tengah hari,” jelas pihak TUDM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“TUDM mendoakan agar Kamariah diberikan kesembuhan. Tahniah juga diucapkan kepada juruterbang dan kru pesawat CN 235 yang terbabit dalam menjayakan misi penerbangan ihsan ini,” katanya.
Turut mengiringi Kamariah adalah menantunya, Asmawati Ismail, Pegawai Perubatan HUSM, Dr. Muhammad Syafiek serta seorang jururawat.