KUALA LUMPUR, 11 NOV – Bentuk muka bumi serta keadaan cuaca menjadi cabaran utama pasukan No.5 Skuadron, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa menjalankan Misi bantuan Kemanusian dan Bencana (HADR) di Filipina pada 26 Oktober hingga 2 November lalu.
Ketua Misi HADR ke Filipina, Mejar Thaddaeus Raphael Ak Azis @ Sait menjelaskan, walaupun berdepan dengan angin kencang dan cuaca yang tidak menentu, pasukannya berjaya mengatasi cabaran tersebut dan melaksanakan misi dengan baik.
Beliau menyatakan sudah beberapa kali terlibat dalam misi penghantaran bantuan di dalam negara yang cabarannya tidak jauh berbeza, namun keadaan muka bumi di Filipina yang bergunung dan memiliki banyak pulau memberinya pengalaman baharu.

Mejar Thaddaeus Raphael Ak Azis @ Sait berkata, walaupun berdepan dengan angin kencang dan cuaca yang tidak menentu, pasukannya berjaya mengatasi cabaran tersebut dan melaksanakan misi dengan baik. Foto: AirTimes/Izzat
“Cuaca pada waktu pagi agak baik, cuma bertiup kencang pada sebelah petang dan menjelang malam akan hujan,
“Misi penghantaran dijalankan pada waktu pagi dan petang sahaja, jadi kami dapat menjalankan penghantaran dengan baik,
“Termasuk bantuan dari Philiphine Air Force (PAF), mereka memberikan bantuan yang secukupnya untuk melakukan misi ini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penghargaan kepada pegawai dan anggota yang terlibat dalam HADR di Filipina susulan Taufan Tropika Kristine (Trami), baru-baru ini.
Sebelum ini TUDM telah mengaturgerakan sebuah helikopter EC 725 AP bersama 15 anggota bagi melaksanakan misi HADR ke Filipina susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang mengakibatkan banjir besar dan tanah runtuh di negara berkenaan.
Sepanjang tempoh misi HADR dari 27 Oktober hingga 1 November, pasukan berjaya melaksanakan 9 sortie penerbangan.
Misi tersebut melibatkan penghantaran 17.5 tan bekalan bantuan, termasuk bot berinjin (0.82 tan), kanvas tarpaulin (8.22 tan), dan bekalan makanan (8.4 tan).

Mejar Thaddaeus bersama pegawai dan anggota TUDM yang terlibat dalam misi Misi bantuan Kemanusian dan Bencana (HADR) di Filipina pada 26 Oktober hingga 2 November lalu. Foto: AirTimes/Izzat
Mengulas lanjut, Mejar Thaddaeus turut menzahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana dapat membantu pasukan luar dalam misi HADR ini.
“Sepanjang operasi, kami melakukan rutin sama iaitu menghantar bantuan ke Lapangan Terbang Bicol dan Lapangan Terbang Naga dan dari situ tentera Filipina akan mengagihkan bantuan berkenaan di Landing Point di kawasan terjejas,
“EC 725 merupakan pesawat yang sangat baik, Ia dapat melakukan misi ini dengan baik, selamat dan berjaya,
“Pasukan kami hanya membantu dari segi penghantaran barang-barang ke Lapangan Terbang Bicol dan Naga. Cuma mereka (PAF) kekangan dari segi pesawat yang membawa ke Lapangan Terbang Bicol dan Naga,” ujarnya lagi.
Terdahulu, 16 pegawai dan anggota TUDM yang diketuai oleh Mejar Thaddaeus telah menerima penghargaan yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang.

16 pegawai dan anggota TUDM yang diketuai oleh Mejar Thaddaeus telah menerima penghargaan yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM di 16 Skuadron, Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini. Foto: AirTimes/ Izzat
Bagi penglibatan dalam misi HADR itu, kesemua mereka menerima ‘Award of The Military Civic Action Medal dan Award of The Chief of Staff, AFP Commendation Medal and Ribbon’ yang disampaikan sendiri oleh Panglima Tentera Udara Filipina (PAF) Left Jen Stephen P. Parreño pada 31 Oktober lepas dalam satu majlis di Pangkalan Udara Villamor.
“Kejayaan melaksanakan misi ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana, tetapi turut mengeratkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, sekali gus menunjukkan kemampuan TUDM untuk melaksanakan pelbagai misi dan kami berbangga kerana diberi peluang untuk melaksanakannya,” kata Panglima Tentera Udara. -airtimes.my
#pertahanan #TUDM #Malaysia #HADR #bantuan #Filipina #airtimes
