Home SejarahTUDMPanglima TUDM terbangkan Su-30MKM, hiasi segmen udara Hari Kebangsaan 2025

Panglima TUDM terbangkan Su-30MKM, hiasi segmen udara Hari Kebangsaan 2025

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

SUBANG, 27 OGOS – Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Muhamad Norazlan Aris (TUDM) bersama juruterbang dan anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memulakan persiapan serta latihan penerbangan pada pagi Rabu.

Penglibatan Panglima Tentera Udara yang menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM secara langsung dalam segmen persembahan udara, bakal mencatat sejarah pada Sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Menurut TUDM, persiapan dan latihan itu dilakukan bagi menjayakan segmen berkenaan, yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, 31 Ogos kelak.

“Penglibatan Panglima Tentera Udara dalam persembahan udara ini mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekaligus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan,” jelas TUDM dalam hantaran di laman Facebooknya.

Sebanyak 30 aset udara yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada semua agensi bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya pada Ahad ini.

Aset-aset udara yang turut terlibat, adalah daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, TUDM turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama meriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025 ini dan mengambil peluang merakam detik bersejarah bersama keluarga tercinta.

“Pengorbanan tidak bertepi, nyawa sebagai taruhan, itulah ikrar yang dipegang oleh kami dalam memastikan keamanan dan kemerdekaan negara terus dipertahankan. ‘Duty, Honour, Sacrifice.’” Katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 membawa tema ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, kali ini diserikan dengan persembahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama agensi keselamatan dan pertahanan lain melalui deruman enjin, kibaran Jalur Gemilang serta aksi keberanian di ruang angkasa raya. -airtimes.my

#Airtimes #PTU #Su-30MKM #TUDM #ATM #Pertahanan #HariKebangsaan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply