Home Sejarah CL-41G Tebuan: Jet tempur pertama TUDM dalam lipatan sejarah

CL-41G Tebuan: Jet tempur pertama TUDM dalam lipatan sejarah

by Suraya Aziz

Dalam sejarah ketenteraan dunia, kekuatan aset pertahanan sering menjadi kayu ukur kebebasan dan kekuatan sesebuah negara. 

Dari era pelayaran menggunakan bintang sebagai panduan hinggalah kepada perlumbaan penguasaan ruang udara, teknologi ketenteraan memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan sesebuah bangsa.  

Malaysia juga tidak terkecuali dalam usaha ini, terutamanya selepas Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan secara rasmi oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957.

Walau bagaimanapun, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditubuhkan setahun (1958) sejurus pengisytiharan kemerdekaan pada ketika itu hanya mempunyai pesawat pengangkut dan helikopter. 

Selama hampir sedekad, TUDM mengamalkan konsep “Non-Fighting Force”, di mana ia berfungsi hanya sebagai pasukan logistik dan sokongan.

Ia bermakna, TUDM tidak memiliki pesawat khusus berkeupayaan tempur untuk melaksanakan operasi serangan udara mahupun pertahanan. 

Maka, pengenalan pesawat jet pejuang CL-41G atau dikenali sebagai Tebuan secara rasmi semasa pada Ogos 1967 adalah satu sejarah penting yang tidak mungkin dilupakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM.

Nama “Tebuan” yang diberikan kepada CL-41G dipercayai diilhamkan daripada sifat serangga tebuan yang kecil namun ganas, serta kemampuan menyerangnya yang tajam dan mematikan.

Malaysia satu-satunya negara yang mempunyai pesawat tempur Canadair CL-41 versi ‘G’ dengan enjin yang diubahsuai (Foto: FB TUDM)

CL-41G Tebuan, licik dan mematikan

Mengulas lanjut, Pesawat CL-41G Tebuan adalah versi taktikal Canadair CL-41 jenis pelatih jet Tutor buatan Kanada yang turut digunakan oleh Royal Canadian Air Force (RCAF).

Pada Ogos 1967, Malaysia telah menerima sebanyak 20 unit pesawat Tebuan yang diubah suai dengan enjin General Electric J85, memberikan kelajuan maksimum sehingga 800 km/j. 

Pesawat tempur ini juga dilengkapi dengan senjata seperti meriam 20 mm, bom ringan serta roket yang menjadikannya sesuai untuk peranan serangan darat dan sokongan udara dekat.

Menariknya lagi, selain kemunculan pertamanya kepada umum semasa sambutan Hari Kemerdekaan, Malaysia satu-satunya pengendali versi ‘G’ di dunia dengan enjin pesawat yang sudah dinaik taraf.

Pesawat Tebuan ini dioperasikan oleh Skuadron ke-6 dan Skuadron ke-9 yang berpangkalan di TUDM Kuantan pada tahun 1968 manakala pada 1986, perkhidmatan pesawat-pesawat tersebut telah ditamatkan.

Krew terdiri daripada Skuadron keenam bergambar bersama Pesawat Tempur pertama TUDM, CL-41G Tebuan pada tahun 1967. (Foto: FB TUDM- We Are One)

Peranan dalam Operasi Gubir 1967

Dalam pada itu, puncak kegemilangan Tebuan dapat dilihat semasa Operasi Gubir pada 26 April 1976 di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha besar untuk menumpaskan gerakan komunis yang masih aktif selepas Darurat Pertama semasa peristiwa serangan balai polis Bukit Kepong (1948–1960).

Susulan itu, sebuah operasi yang dinamakan “Operasi Kota” dijalankan pada 1976 bertujuan menyasar dan memusnahkan kubu kuat pengganas komunis yang bersembunyi di tengah hutan belantara tebal.

Difahamkan selain jet CL-41G Tebuan, F5E Tiger II, Helikopter Nuri dan Allouette turut dikerahkan dalam operasi sama. 

Dalam konteks misi ini, CL-41G Tebuan memainkan peranan penting, termasuk menggempur kedudukan musuh dengan serangan udara yang tepat sebagai sokongan kepada Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Polis Hutan.

Selain itu, sebahagian Tebuan turut dilengkapi dengan mini-gun dan roket, manakala sebahagian lagi membawa bom-bom 500 lbs bagi menghancurkan kubu komunis. 

Untuk rekod, misi ini juga merupakan antara misi terbesar Gerup Gerak Khas (GGK) yang menggunakan khidmat pesawat Tebuan.

Jet tempur CL-41G Tebuan kini dipamerkan di Muzium TUDM di Sungai Besi dan Muzium Tentera di Port Dickson (Foto: FB TUDM)

CL-41G: Malaysia satu-satunya tuan rumah buat “Tebuan” besi TUDM

Perkhidmatan CL-41G Tebuan kemudiannya diteruskan selama 20 tahun lamanya. Meskipun CL-41G Tebuan menjadi lambang era baharu TUDM, pesawat ini tidak terlepas daripada kekangan dari segi keterbatasan avionik serta kos penyelenggaraan yang tinggi. 

Akibatnya, pada tahun 1986, pesawat ini secara rasmi ditamatkan perkhidmatannya dan digantikan oleh pesawat A-4 Skyhawk yang lebih canggih.  

Walaupun perkhidmatan Tebuan tidak panjang, warisannya tetap dikenang dalam sejarah ketenteraan Malaysia. 

Tidak seperti 2 buah pesawat F-5B yang dijual kepada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) pada 1982, setakat ini tiada laporan CL-41G dijual atau dihantar kembali ke negara pengeluar. 

Sebaliknya, sebahagian unit pesawat ini kini dipamerkan di Muzium TUDM di Sungai Besi dan Muzium Tentera di Port Dickson Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengabadikan sejarah TUDM. -airtimes.my

#CL-41GTebuan #PesawatTempur #TUDM #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?