Gallipoli mungkin nama yang agak asing bagi kita semua. Juga dikenali sebagai Çanakkale, tempat ini bukan sekadar nama tempat di Turkiye, tetapi ia juga mempunyai keistimewaan tersendiri.
Bagi mereka yang mengikut sejarah peperangan, Gallipoli adalah simbol bagaimana sebuah rancangan besar boleh hancur apabila berlakunya kesilapan strategi, geografi, logistik dan juga memandang terhadap musuh.
Bagi pihak Tentera Berikat, 9 Januari 1916 menutup satu kempen yang mahal sejarah Perang Dunia Pertama. Pada tarikh itu, pengunduran terakhir Tentera Berikat dari Gallipoli selesai sepenuhnya, lalu menamatkan usaha mereka untuk menundukkan Empayar Uthmaniyah melalui pintu Selat Dardanelles.
Kempen yang gagal dari awal

Apabila Perang Dunia Pertama memuncak, Britain serta Perancis mahu memecahkan kebuntuan perang di Eropah. Mereka turut berhasrat untuk membuka laluan bekalan ke Rusia melalui Laut Hitam dengan menguasai Selat Dardanelles.
Dalam perancangan itu, Istanbul juga dilihat sebagai sasaran strategik utama. Sekiranya laluan laut dibentuk dan Selat Dardanelles berjaya dikuasai, ibu kota Uthmaniyah akan menjadi sasaran mudah. Naratif ini turut dipacu oleh kepimpinan politik Britain ketika itu, termasuk Winston Churchill selaku First Lord of the Admiralty.
Namun, fasa awal serangan laut tidak berjalan seperti dirancang. Serangan armada pada 18 Mac 1915 gagal selepas beberapa kapal tempur utama terkena periuk api laut Uthmaniyah dan juga tembakan pertahanan pantai. Kegagalan ini mendorong pihak Berikat beralih kepada operasi pendaratan amfibi.
Neraka di pantai, bukit dan parit

Pada 25 April 1915, pendaratan bermula di beberapa sektor utama Gallipoli. Pasukan British, Perancis serta kor Australia dan New Zealand atau ANZAC memasuki medan yang rupa buminya yang jelas menyebelahi pertahanan Uthmaniyah.
Di banyak lokasi, pasukan pendarat terperangkap hampir di garis pantai. Bukit curam, rabung sempit serta kedudukan tembakan yang dominan kepada Turkiye menjadikan kemaraan amat perlahan. Apabila peperangan bertukar menjadi perang parit, kedua-dua pihak menanggung penderitaan berpanjangan.
Keadaan operasi mula dihimpit faktor bukan tempur. Kekurangan air bersih, wabak penyakit, kepanasan melampau pada musim panas dan kesejukan musim sejuk menjadi musuh senyap yang menghakis keupayaan tempur.
Detik kebangkitan Mustafa Kemal

Leftenan Kolonel Mustafa Kemal (uniform ringan di sebelah kiri) dan para komandernya di Semenanjung Gallipoli pada tahun 1915. (Foto ihsan Wikimedia Commons). Foto: Army University Press
Dalam kekacauan hari hari awal pendaratan, muncul seorang komander lapangan yang kelak mengubah sejarah Turkiye. Mustafa Kemal, ketika itu berpangkat leftenan kolonel dan memimpin Divisyen ke-19, bertindak pantas membaca risiko strategik di sektor ANZAC.
Bagi pertahanan Uthmaniyah, kejatuhan rabung utama di kawasan Arıburnu berpotensi membuka laluan yang meruntuhkan keseluruhan garis pertahanan. Dalam konteks inilah Mustafa Kemal mengeluarkan arahan yang kemudian menjadi legenda ketenteraan kepada Rejimen Infantri ke-57.
“Saya tidak memerintahkan kamu untuk menyerang, saya memerintahkan kamu untuk mati,” kata-kata Mustafa Kemal ketika itu menjadi lagenda peringatan dalam sejarah Turkiye. Arahan ini mencerminkan keputusan ekstrem bagi membeli masa sehingga unit lain dapat tiba dan menstabilkan garis hadapan.
Rejimen ke-57 menanggung korban yang amat besar. Sebahagian besar anggotanya terkorban dalam pertempuran awal, namun pengorbanan mereka tidak sia-sia kerana berjaya menghalang asakan pantas tentera Berikat. Sebagai simbol penghormatan, nombor Rejimen ke-57 ‘direhatkan” dan tidak lagi digunakan dalam tentera Turkiye moden.
Kegagalan kemaraan, kejayaan pengunduran
Menjelang hujung 1915, realiti strategi menjadi semakin jelas. Kempen Gallipoli gagal mencapai objektif utama dan keperluan sumber di medan lain semakin mendesak. London akhirnya memutuskan untuk berundur.
Pengunduran dilaksanakan dalam dua fasa utama. Sektor ANZAC dan Suvla ditinggalkan antara 15 hingga 20 Disember 1915 melalui operasi yang terancang serta dipenuhi helah penipuan. Fasa terakhir di Cape Helles berakhir sepenuhnya pada subuh 9 Januari 1916.
Walaupun keseluruhan kempen dianggap kegagalan strategik, operasi pengunduran sering diakui sebagai satu daripada pelaksanaan paling berjaya pihak Berikat kerana ia dilakukan dengan kehilangan nyawa yang minimum berbanding jangkaan awal.
Mengapa Gallipoli terus relevan

Anggota tentera New Zealand dan Australia yang berlabuh di pantai Gallipoli. Foto Hiasan
Dari sudut ketenteraan, Gallipoli kekal sebagai kajian tentang had kuasa maritim apabila berdepan pertahanan pesisir yang berlapis, termasuk ancaman periuk api laut dan kelebihan rupa bumi.
Bagi Australia dan New Zealand, Gallipoli membentuk memori kolektif yang besar. Tarikh 25 April diperingati sebagai Anzac Day dan menjadi sebahagian daripada pembentukan identiti nasional kedua dua negara.
Bagi Turkiye pula, Gallipoli atau Çanakkale ialah simbol ketahanan nasional serta pentas yang mengangkat nama Mustafa Kemal sebelum beliau memimpin Perang Kemerdekaan Turki dan menubuhkan Republik Turki pada 1923.
Akhirnya, 9 Januari 1916 bukan sekadar tarikh pengunduran terakhir Tentera Berikat. Ia menutup sebuah percaturan yang gagal dan pada masa yang sama membuka laluan kepada kebangkitan seorang pemimpin yang mengubah haluan sejarah bangsanya. – airtimes.my
#Airtimes #Gallipoli #Çanakkale #Mustafa Kemal #EmpayarUthmaniyyah #Ketenteraan #Sejarah #Turkiye
