Home Pertahanan dan KeselamatanMINDEF sasar kandungan tempatan 30 peratus dalam perolehan pertahanan menjelang 2030

MINDEF sasar kandungan tempatan 30 peratus dalam perolehan pertahanan menjelang 2030

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 8 JUL – Kementerian Pertahanan menyasarkan peningkatan kandungan tempatan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam projek perolehan pertahanan menjelang 2030.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, sasaran itu meliputi penyertaan tenaga kerja, teknologi, komponen, bahan serta perkhidmatan tempatan dalam projek perolehan pertahanan negara.

Menurut Mindef, Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) turut memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dalam negara bagi aset strategik pertahanan.

“Menjelang tahun 2030, Dasar Industri Pertahanan Negara mensasarkan peningkatan keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih dalam negara bagi aset strategik pertahanan,” kata Khaled.

Jawapan tersebut diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau, Tuan Haji Kamal Ashaari, yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan mekanisme mengukur keberkesanan pemindahan teknologi dalam perolehan pertahanan.

Beliau menjelaskan, Industrial Collaboration Programme digunakan sebagai medium utama bagi melaksanakan pemindahan teknologi dalam setiap perolehan pertahanan.

Namun begitu, keberkesanan program tersebut tidak diukur semata-mata berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan. Sebaliknya, penilaian dibuat melalui hasil sebenar yang dicapai oleh syarikat tempatan.

Antara indikator utama ialah peningkatan penguasaan teknologi, keupayaan melaksanakan penyelenggaraan, pembangunan produk tempatan, penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta kejayaan memperoleh pensijilan antarabangsa.

Pada masa sama, katanya Mindef turut menilai penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global, selain keupayaan mereka berkembang serta bersaing di peringkat antarabangsa.

Majlis Industri Pertahanan pula berperanan sebagai platform penyelarasan strategik tertinggi Kementerian Pertahanan. Platform itu menghimpunkan agensi kerajaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), industri, akademia serta institusi penyelidikan termasuk STRIDE.

Tambahnya lagi, majlis berkenaan adalah bagi memantau pelaksanaan dasar, menyelaras pembangunan industri pertahanan, mengenal pasti keutamaan teknologi strategik negara serta menilai pencapaian projek ICP.

Langkah ini penting untuk memastikan setiap obligasi yang dipersetujui dalam perolehan pertahanan memberi impak sebenar kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

“Bagi mengukur tahap kesiapsiagaan industri pertahanan tempatan pula, Kementerian menilai beberapa indikator utama seperti bilangan syarikat yang memperoleh pensijilan antarabangsa seperti AS9100 dan NATO STANAG, peningkatan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), penguasaan teknologi kritikal, penglibatan syarikat tempatan dalam projek pertahanan strategik serta keupayaan industri menyediakan sokongan logistik dan penyelenggaraan kepada aset ATM,” jelas Khaled.

Pendekatan ini menunjukkan kerajaan mahu memastikan perolehan pertahanan tidak hanya tertumpu kepada pembelian aset, sebaliknya turut menjadi pemangkin kepada pembinaan keupayaan industri negara secara lebih mampan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply