Pemindahan teknologi atau Transfer of Technology (ToT) sering menjadi antara hujah utama yang diketengahkan oleh kerajaan setiap kali negara melaksanakan program perolehan aset ketenteraan berskala besar.
Konsep ini pada asasnya bertujuan memastikan Malaysia tidak sekadar menjadi pembeli peralatan pertahanan, sebaliknya membangunkan keupayaan industri tempatan secara berperingkat.
Melalui Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), kerajaan berhasrat mengubah kedudukan Malaysia daripada pengguna teknologi kepada rakan industri yang mampu menyokong pembangunan aset secara lebih berdikari.
Matlamat tersebut sememangnya wajar kerana kebergantungan mutlak kepada pembekal luar boleh menimbulkan risiko sekatan teknologi dan gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.
Atas sebab itu, syarat kandungan tempatan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam perolehan pertahanan diperkenalkan bagi merangsang penglibatan industri tempatan.
Namun, persoalan utama ialah sejauh mana pelaksanaan ToT yang berlaku selama ini benar-benar memberikan pulangan kepada negara.
Dalam banyak kerjasama, ToT yang diterima lebih tertumpu kepada pemasangan, integrasi dan penyelenggaraan berbanding pemindahan ilmu reka bentuk atau hak intelek sebenar.
Keadaan ini menyebabkan syarikat tempatan mampu membina atau memasang produk, tetapi masih bergantung kepada pemilik teknologi asal untuk komponen kritikal.
Hasilnya, industri tempatan tidak benar-benar menguasai keseluruhan rantaian pembangunan sesuatu sistem persenjataan.
Inilah yang sering digambarkan oleh pengkritik sebagai sekadar aktiviti ‘memasang skru dan mengecat’ tanpa pemindahan teknologi teras.
Pada sudut tertentu, kritikan ini mempunyai asas yang munasabah.
ToT yang berkesan sepatutnya melahirkan keupayaan mereka bentuk, mengubah suai dan menambah baik sesuatu sistem secara bebas.
Jika selepas puluhan tahun sesebuah syarikat masih memerlukan bantuan pihak luar untuk perubahan asas pada platform yang sama, maka nilai sebenar ToT itu perlu dinilai semula.
Tambahan pula, kos kontrak ToT lazimnya jauh lebih tinggi berbanding pembelian terus dari pengeluar asal.
Kerajaan bukan sahaja membayar aset, malah turut membiayai pembangunan kilang, latihan tenaga kerja, dokumentasi teknikal dan infrastruktur sokongan.
Sebagai contoh, pembangunan kapasiti industri tempatan sejak penghujung 1990an banyak bergantung kepada kontrak kerajaan yang diberikan bersama pakej pembangunan industri.
Kemudahan pembuatan dan penyelenggaraan diwujudkan bagi menyokong projek-projek strategik yang diperoleh negara.
Persoalannya, adakah pelaburan besar tersebut dimanfaatkan secara optimum selepas projek utama selesai dilaksanakan?
Di sinilah muncul isu kesinambungan yang sering menjadi kelemahan terbesar model ToT Malaysia.
Selepas kontrak kerajaan tamat, syarikat tempatan sering berdepan kesukaran mendapatkan pesanan baharu dalam jumlah mencukupi untuk mengekalkan kapasiti yang telah dibina.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila program susulan atau pembelian kelompok kedua tidak diteruskan.
Program kenderaan perisai AV8 Gempita misalnya membina ekosistem industri yang besar, namun manfaat jangka panjangnya bergantung kepada kesinambungan pengeluaran, naik taraf dan potensi eksport.
Ia pernah mendapat kritikan apabila kos sebuah kenderaan dikatakan ‘mahal’.
Sekiranya tiada tambahan unit atau program lanjutan, sebahagian besar pelaburan industri yang dibangunkan berisiko kehilangan momentum.
Perkara sama dapat dilihat dalam beberapa program lain yang tidak berkembang mengikut perancangan asal.
Apabila projek baharu memilih platform berbeza, proses pembangunan kapasiti tempatan terpaksa bermula semula dengan teknologi dan vendor baharu.
Situasi ini menimbulkan persepsi bahawa negara membayar mahal untuk memperoleh lesen dan kemudahan industri yang akhirnya tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Lebih membimbangkan, perubahan dasar akibat pertukaran kerajaan atau keutamaan politik boleh menyebabkan strategi pembangunan industri pertahanan berubah setiap beberapa tahun.
Projek kapal peronda generasi baharu (NGPV) TLDM merupakan antara contoh paling klasik dan penting dalam sejarah perolehan pertahanan Malaysia.
Perolehan kapal ini ketika itu digahkan dengan pemindahan blueprint dan hak pembinaan tempatan secara besar-besaran.
Matlamat negara adalah untuk membina kapal dalam skala besar.
Reka bentuk asas kapal NGPV daripada keluarga MEKO 100 ini dibeli daripada syarikat kapal Jerman, Blohm + Voss (kini sebahagian daripada syarikat NVL / Lürssen).
Di bawah kontrak ini, Malaysia membeli hak reka bentuk tersebut untuk disesuaikan dengan keperluan operasi TLDM di perairan tropika.
Walaupun pemindahan blueprint ini berjaya dari segi teknikal apabila semua 6 buah kapal siap, malangnya projek ini mengalami kontroversi kelewatan yang serius pada awal tahun 2000an akibat masalah pengurusan kewangan.
Projek NGPV tidak diteruskan apabila Kementerian Pertahanan beralih kepada pilihan kapal lain.
Jelas, tanpa pelan jangka panjang yang konsisten merentasi perubahan pentadbiran, manfaat ToT sukar diterjemahkan kepada keupayaan industri yang benar-benar mapan.
Dalam keadaan sedemikian, kos pembangunan industri boleh meningkat berulang kali sedangkan hasilnya tidak berkembang secara seimbang.
Ini membuka ruang kepada kritikan bahawa sesetengah projek lebih banyak menguntungkan pihak tertentu berbanding menghasilkan keupayaan strategik yang berkekalan kepada negara.
Bagaimana pun, adalah tidak adil untuk menyimpulkan bahawa semua program ToT gagal atau tidak memberi manfaat.
Malaysia hari ini mempunyai keupayaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang jauh lebih baik berbanding beberapa dekad lalu hasil pelaksanaan ToT dalam pelbagai program pertahanan.
Keupayaan ini membolehkan aset strategik negara diselenggara dalam negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada kemudahan luar negara.
Namun hakikatnya, Malaysia masih belum mencapai tahap membangunkan sistem persenjataan utama secara bebas melalui penyelidikan dan pembangunan tempatan.
Kesimpulannya, ToT hanya akan menguntungkan negara jika disokong oleh kesinambungan perolehan, dasar yang konsisten, pembangunan pasaran eksport dan pemindahan teknologi yang sebenar.
Jika tidak, ia berisiko menjadi pelaburan mahal yang gagal membawa industri pertahanan Malaysia keluar daripada status sebagai pembeli teknologi kepada pembangun teknologi yang berdikari.
