Peperangan moden tidak lagi hanya berlaku sebatas di sempadan, laut, udara atau ruang siber. Dalam era digital, medan yang semakin penting ialah fikiran manusia. Inilah asas kepada peperangan kognitif atau cognitive warfare, iaitu usaha tersusun untuk mempengaruhi cara manusia menerima maklumat, menilai sesuatu isu, membuat keputusan dan akhirnya bertindak.
Ancaman ini tidak semestinya datang dalam bentuk peluru, bom atau serangan fizikal. Ia boleh hadir sebagai video pendek, mesej WhatsApp, akaun palsu, naratif separuh benar, teori konspirasi, gambar manipulasi, deepfake atau kempen emosi yang kelihatan seperti perbincangan biasa rakyat.
Pertubuhan Sains dan Teknologi NATO (NATO STO) menyifatkan peperangan kognitif sebagai perebutan dalam domain kognitif, manakala NATO Review menjelaskan bahawa dalam peperangan seperti ini, fikiran manusia menjadi medan tempur utama. Matlamatnya bukan sahaja mengubah apa yang difikirkan oleh seseorang, tetapi turut mempengaruhi cara seseorang itu berfikir dan bertindak.
Ruang digital sebagai barisan hadapan
Bagi Malaysia, ancaman ini perlu difahami dengan serius kerana masyarakat negara ini sangat terhubung secara digital. Menurut DataReportal, Malaysia mempunyai 35.4 juta pengguna internet pada akhir 2025, dengan kadar penembusan internet mencecah 98 peratus. Dalam masa sam, negara ini juga mempunyai 30.7 juta identiti pengguna media sosial, bersamaan 85 peratus daripada jumlah penduduk.
Angka ini menunjukkan bahawa ruang digital bukan lagi ruang sampingan. Ia sudah menjadi ruang utama pembentukan persepsi, perbincangan awam dan tindak balas masyarakat terhadap sesuatu isu.
Dalam keadaan ini, setiap kandungan yang tersebar di media sosial berpotensi memberi kesan kepada cara rakyat memahami keselamatan, politik, ekonomi, hubungan kaum, agama dan kedaulatan negara. Kandungan yang benar boleh membantu masyarakat membuat keputusan yang lebih baik. Namun, kandungan yang diputarbelitkan pula boleh mencetuskan salah faham, kemarahan dan ketidakpercayaan.
Lebih halus daripada propaganda

Adakala maklumat yang disampaikan dalam satu rangkap ayat mampu meracuni pemikiran kita tanpa sedar. Inilah hakikat peperangan kognitif, halus, tetapi mematikan dari dalam
Peperangan kognitif berbeza daripada propaganda biasa. Propaganda lazimnya cuba meyakinkan khalayak untuk menerima satu mesej tertentu. Peperangan kognitif pula, lebih halus dan lebih berbahaya kerana ia tidak semestinya mahu rakyat percaya kepada satu perkara sahaja. Kadangkala, matlamatnya ialah membuat rakyat tidak percaya kepada apa-apa.
Apabila semua institusi dianggap berbohong, semua media dianggap telah dibeli, semua fakta dianggap agenda dan semua perbezaan pendapat dianggap pengkhianatan, masyarakat akan hilang keupayaan untuk menilai maklumat secara waras.
Dalam keadaan sedemikian, pihak luar atau aktor berkepentingan tidak perlu menakluk negara secara fizikal. Mereka hanya perlu melemahkan keyakinan rakyat terhadap negara sendiri, iaitu dengan cara menyemai kemarahan, memperbesarkan perpecahan serta mengeksploitasi isu kaum, agama, wilayah, ekonomi dan keselamatan, kemudian membiarkan masyarakat saling menyerang. Negara yang berpecah dari dalam akan lebih mudah ditekan dari luar.
Taktik manipulasi dan ancaman AI
Taktik peperangan kognitif lazimnya digerakkan melalui penyebaran maklumat palsu atau adunan fakta benar dengan tafsiran yang sengaja diputarbelitkan. Bagi mempercepatkan penyebaran, taktik ini mengeksploitasi emosi ekstrem seperti kemarahan, ketakutan, kebencian dan kecurigaan.
Selain itu, penggunaan akaun palsu, bot, pempengaruh berbayar atau rangkaian akaun tidak tulen turut digunakan untuk mewujudkan ilusi bahawa sesuatu pandangan mendapat sokongan besar. Apabila orang ramai melihat sesuatu naratif diulang berkali-kali oleh banyak akaun, mereka mungkin menganggapnya sebagai pandangan majoriti, walaupun sokongan itu sebenarnya dimanipulasi.
Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan ancaman ini lebih kompleks. Dahulu, penghasilan gambar, audio atau video palsu memerlukan kepakaran tinggi. Kini, kandungan seperti itu boleh dihasilkan dengan kos rendah dan dalam masa singkat.
Misalnya, teknologi deepfake berupaya untuk meniru suara pemimpin, memalsukan kenyataan pegawai keselamatan, mereka-reka skandal atau mencetuskan panik ketika krisis. Dalam konteks pilihan raya, konflik serantau, ketegangan kaum atau isu keselamatan negara, kandungan palsu seperti ini boleh memberi kesan besar sebelum pihak berkuasa sempat memberikan penjelasan.
Skala ancaman di Malaysia

Bukan sekadar berita palsu, malah teknologi deepfake kini digunakan sebagai senjata untuk merobek kepercayaan kita, demi kepentingan agenda pihak tertentu.
Malaysia sudah berdepan dengan cabaran maklumat palsu dan kandungan manipulatif. Pada 2025, Kementerian Komunikasi memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menurunkan 10,493 kandungan palsu dan 30,427 kandungan berkaitan penipuan antara Januari hingga 15 April tahun tersebut.
Pada Oktober 2025 pula, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa MCMC telah menurunkan 2,354 kandungan deepfake dan 46,966 kandungan palsu sejak 1 Januari 2022. Angka ini menunjukkan masalah manipulasi maklumat bukan lagi isu kecil atau terpencil.
Namun, peperangan kognitif tidak boleh difahami hanya sebagai isu berita palsu. Ia menyasarkan kepercayaan, identiti dan tingkah laku masyarakat. Dalam negara majmuk seperti Malaysia, naratif yang menyentuh isu 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, selain wilayah, keselamatan, kos sara hidup dan kedaulatan, amat mudah dieksploitasi untuk mencetuskan tindak balas emosi.
Satu hantaran palsu yang direka dengan baik mampu mencetuskan kemarahan. Satu video lama yang dikitar semula boleh menimbulkan salah faham. Satu petikan yang dipotong daripada konteks asalnya pula boleh merosakkan kepercayaan terhadap institusi.
Campur tangan asing dan operasi pengaruh
Ancaman ini berkait rapat dengan konsep Foreign Information Manipulation and Interference (FIMI). Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah (EEAS) mentakrifkan FIMI sebagai aktiviti manipulatif yang disengajakan dan diselaraskan oleh aktor negara atau bukan negara, termasuk proksi, bagi mengganggu ruang maklumat, proses politik dan keselamatan.
Perkara ini penting kerana tidak semua operasi pengaruh dilakukan secara terang-terangan oleh kerajaan asing. Ada yang bergerak melalui rangkaian media, kumpulan tempatan, akaun tanpa identiti, laman web palsu atau saluran komunikasi tertutup.
Dalam konteks ketenteraan, kuasa besar turut melihat domain kognitif sebagai sebahagian daripada operasi moden. Laporan RAND Corporation, misalnya, menjelaskan bahawa Tentera Pembebasan Rakyat China sedang membangunkan konsep operasi domain kognitif sebagai bentuk peperangan psikologi era maklumat yang menyasarkan pembuatan keputusan dan tingkah laku pihak lawan.
Ini menunjukkan bahawa ruang fikiran, persepsi dan emosi masyarakat kini bukan lagi dianggap sebagai isu sampingan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada perancangan strategik dalam persaingan kuasa moden.
Rakyat sebagai sasaran dan benteng pertahanan

Setiap klik membawa impak. Telefon pintar di tangan kita boleh menjadi alat penyebar manipulasi atau benteng pertahanan negara. Dengan itu, pilihan di tangan kita untuk menyemak maklumat terlebih dahulu sebelum berkongsi.
Bagi rakyat biasa, kesan peperangan kognitif mungkin tidak disedari. Seseorang mungkin menyangka dia hanya berkongsi maklumat atau sedang “membuka mata” orang lain. Namun, tanpa semakan, dia sebenarnya boleh menjadi sebahagian daripada rantaian penyebaran naratif manipulatif.
Inilah bahaya utama peperangan kognitif. Mangsa tidak semestinya tahu bahawa dirinya sedang dipengaruhi.
Lebih membimbangkan, mangsa mungkin berasa dirinya lebih berani, lebih kritikal dan lebih sedar, sedangkan tindakannya sedang memenuhi matlamat pihak yang memanipulasi ruang maklumat. Cara terbaik menghadapi ancaman ini bukan dengan menutup perbahasan awam. Kritikan dan teguran tetap penting dalam sistem demokrasi. Peperangan kognitif juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menyamakan semua kritikan sebagai ancaman.
Sebaliknya, pertahanan sebenar bermula dengan membina masyarakat yang matang dalam menilai maklumat. Rakyat perlu membiasakan diri bertanya beberapa soalan asas sebelum mempercayai atau berkongsi sesuatu kandungan.
Siapa sumber asalnya? Adakah maklumat itu datang daripada kenyataan rasmi, media sah atau dokumen yang boleh disemak? Adakah tajuknya terlalu beremosi? Adakah gambar atau video itu benar-benar baharu? Adakah kandungan itu sengaja mencetuskan kemarahan terhadap kaum, agama, institusi atau negara tertentu?
Soalan seperti ini kelihatan mudah, tetapi sangat penting. Dalam peperangan kognitif, tindakan paling kecil seperti berkongsi kandungan tanpa semakan boleh membantu memperluas kesan sesuatu operasi manipulasi.
Peranan media dan institusi negara
Media juga memikul tanggungjawab besar. Dalam suasana maklumat bergerak terlalu pantas, media tidak boleh sekadar mengejar kelajuan. Media perlu menjadi penapis, penyemak dan pemberi konteks. Berita yang tidak lengkap, tajuk yang terlalu sensasi dan laporan yang hanya menyalin kenyataan tanpa semakan boleh membantu penyebaran naratif manipulatif, walaupun tanpa niat jahat.
Pada masa yang sama, institusi negara perlu berkomunikasi dengan lebih pantas, jelas dan konsisten. Kekosongan maklumat sering diisi oleh spekulasi. Apabila sesuatu isu keselamatan, bencana, pertahanan atau ketegangan sosial berlaku, kelewatan penjelasan rasmi boleh membuka ruang kepada naratif palsu.
Dalam peperangan kognitif, ‘masa’ ialah faktor penting. Penjelasan yang benar tetapi terlalu lewat mungkin sudah kalah kepada pembohongan yang tersebar lebih awal.
Mempertahankan daya fikir negara
Peperangan kognitif pada hakikatnya adalah perang terhadap daya fikir masyarakat. Ia menyerang kepercayaan rakyat terhadap fakta, merosakkan keyakinan terhadap institusi dan melemahkan keupayaan negara untuk bertindak secara bersama ketika krisis.
Malaysia tidak boleh menunggu sehingga ancaman ini menjadi lebih parah. Kesedaran awam, literasi media, kewartawanan bertanggungjawab, komunikasi kerajaan yang telus dan penguatkuasaan terhadap operasi manipulatif perlu bergerak dengan serentak.
Dalam dunia hari ini, mempertahankan negara bukan hanya tugas tentera di sempadan. Ia juga bermula daripada telefon pintar di tangan rakyat. Setiap klik pada paparan skrin, setiap perkongsian dan setiap reaksi emosi boleh menjadi sebahagian daripada pertahanan negara, atau bahkan tanpa disedari, boleh menjadi senjata yang digunakan untuk melemahkan negara dari dalam. – airtimes.my
