Home Pertahanan dan KeselamatanJangan letak kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada tanah air – Agong

Jangan letak kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada tanah air – Agong

Agong mengingatkan pegawai muda ATM supaya menjauhi rasuah, menolak sikap malas bekerja serta mengutamakan kepentingan tanah air dalam memikul amanah pertahanan negara.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 27 Jun 2026 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan warga Angkatan Tentera Malaysia supaya tidak sesekali terlibat dengan rasuah, malas bekerja atau mengutamakan kepentingan diri melebihi negara.

Titah Seri Paduka Baginda kepada pegawai muda yang ditauliahkan hari ini merupakan tonggak kepada pembentukan angkatan masa hadapan.

“Awak semua adalah tonggak angkatan masa hadapan. Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” titah Baginda sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM Tahun 2026 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.

Istiadat itu menyaksikan seramai 566 Pegawai Kadet ATM ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, merangkumi 466 pegawai lelaki serta 100 pegawai wanita.

Daripada jumlah itu, Tentera Darat Malaysia menerima 373 pegawai lelaki serta 65 pegawai wanita. Tentera Laut Diraja Malaysia pula menerima 96 pegawai lelaki serta 15 pegawai wanita, manakala Tentera Udara Diraja Malaysia menerima 97 pegawai lelaki serta 20 pegawai wanita.

Selain itu, daripada keseluruhan 566 Pegawai Kadet yang ditauliahkan, 205 Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan merupakan graduan Sarjana Muda dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Baki 361 pegawai pula merupakan lepasan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara.

Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut kekuatan fizikal, akal fikiran, disiplin serta pengorbanan yang tinggi.

Baginda menegaskan, pegawai muda perlu memimpin dengan bijaksana, adil serta menjadi contoh yang baik kepada anggota bawahan.

Dalam titah yang sama, Seri Paduka Baginda menyatakan persekitaran keselamatan global serta serantau kini berubah dengan pantas, kompleks dan tidak menentu.

Sehubungan itu, Baginda menyeru kerajaan supaya memberi keutamaan kepada perolehan peralatan berteknologi terkini bagi menyokong struktur baharu ATM.

Menurut Baginda, angkatan masa hadapan perlu menjadi sebuah angkatan yang bersepadu serta berupaya menghadapi cabaran peperangan generasi kelima.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta jurulatih yang telah mendidik pegawai muda berkenaan sehingga berjaya ditauliahkan sebagai pegawai ATM.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply