Home GlobalEnam pesawat F-35 Kor Marin AS diterima tanpa radar

Enam pesawat F-35 Kor Marin AS diterima tanpa radar

Isu kesiagaan penuh program F-35 terus menjadi perhatian Senat Amerika Syarikat selepas pegawai program itu mengesahkan enam pesawat Kor Marin diterima tanpa radar dipasang.

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

WASHINGTON, 23 Jun – Program F-35 Amerika Syarikat menerima enam pesawat Kor Marin tanpa radar dipasang ketika cabaran kesiagaan dan pemodenan pesawat pejuang generasi kelima itu terus dibangkitkan dalam sesi pendengaran Senat.

Perkara itu disahkan oleh Pegawai Eksekutif Program F-35 Lightning II, Lt. Jen. Gregory Masiello ketika menjawab soalan Senator Mark Kelly dalam sesi pendengaran Jawatankuasa Kecil Airland, Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat Amerika Syarikat pada 23 Jun lalu.

“Kami telah menerima enam pesawat untuk Kor Marin yang tidak mempunyai radar dipasang. Itu betul,” katanya.

Masiello berkata, pesawat berkenaan tidak boleh dikira sebagai mampu misi sepenuhnya (fully mission capable) kerana ketiadaan radar.

Beliau menjelaskan, penerimaan pesawat tanpa radar itu dibuat ketika Kor Marin menunggu radar APG-85.

Isu tersebut dibangkitkan selepas Kelly mempersoalkan perbezaan angka kadar kesiagaan penuh F-35, termasuk laporan Government Accountability Office yang menyebut kadar fully mission capable sebanyak 25 peratus, berbanding angka mission capable yang dinyatakan pejabat program sebanyak 56 peratus.

Dalam sesi pendengaran itu, Kelly berkata sukar membayangkan sebuah F-35 tanpa radar boleh dikategorikan sebagai pesawat fully mission capable.

Masiello turut menjelaskan, radar APG-81 yang digunakan pada sebahagian besar armada F-35 masih beroperasi, namun beberapa isu lain terus memberikan kesan kepada kesiagaan pesawat.

Menurut beliau, antara faktor utama yang menjejaskan status fully mission capable termasuklah keupayaan berasaskan perisian, isu berkaitan radar bagi sebahagian kecil pesawat, tempoh penggunaan kanopi serta penyelenggaraan permukaan ketampakan rendah (low observable).

Beliau berkata, Technology Refresh-3 atau TR-3 bukannya punca degradasi kesiagaan, sebaliknya menjadi asas kepada pemasangan keupayaan lain dalam program F-35.

Sesi pendengaran itu turut menyentuh keperluan kuasa dan penyejukan bagi keupayaan Block 4 serta radar APG-85.
Masiello mengesahkan keperluan program pada masa depan ialah antara 62 hingga 80 kilowatt bagi sistem penyejukan dan pengurusan kuasa, berbanding 32 kilowatt yang digunakan untuk keupayaan penuh Block 4.

Beliau berkata, sistem pengurusan kuasa dan terma yang lebih menyeluruh masih dalam semakan, manakala Engine Core Upgrade dijangka mula dilaksanakan pada tahun 2031 dengan peningkatan terhad terhadap keupayaan tersebut.

Dalam kenyataan bertulisnya kepada jawatankuasa itu, Masiello berkata, Technology Refresh-3 menyediakan asas bagi peningkatan Block 4 termasuk peperangan elektronik, integrasi senjata dan sistem misi bagi memenuhi keperluan persekitaran tempur yang mencabar.

Beliau turut menyatakan pemodenan Engine and Power Thermal Management, termasuk Engine Core Upgrade, adalah penting bagi mengurangkan risiko Block 4 serta menyokong pertumbuhan keupayaan masa depan.

Program F-35 kini merangkumi lebih 1,300 pesawat yang telah diterima di seluruh dunia, termasuk 832 pesawat dalam inventori Amerika Syarikat.

Masiello berkata, pertumbuhan armada itu memberikan tekanan kepada sistem sokongan (sustainment) yang pada asalnya dibina bagi menyokong antara 700 hingga 800 pesawat sahaja. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply