Home GlobalIsrael sengaja lakukan jenayah kemanusiaan terhadap kanak-kanak di Gaza

Israel sengaja lakukan jenayah kemanusiaan terhadap kanak-kanak di Gaza

Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa PBB mendapati bahawa Israel terus melakukan genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Gaza, termasuk melalui tindakan yang menyasarkan kanak-kanak Palestin.

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

WASHINGTON, 25 JUN – Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa PBB berhubung Wilayah Palestin Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur dan Israel, mendakwa pihak berkuasa serta pasukan keselamatan Israel terus melakukan jenayah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Dapatan itu terkandung dalam kertas persidangan bertarikh 18 Jun 2026 yang meneliti pelanggaran dan jenayah terhadap kanak-kanak Palestin di Wilayah Palestin Diduduki bagi tempoh 7 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2026.

“Suruhanjaya mendapati atas alasan munasabah bahawa pihak berkuasa Israel dan pasukan keselamatan Israel terus melakukan jenayah genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang di Semenanjung Gaza serta jenayah perang di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur,” menurut laporan itu.

Menurut suruhanjaya berkenaan, kemudaratan yang dialami kanak-kanak Palestin bukan sekadar kesan sampingan operasi ketenteraan, sebaliknya dalam banyak keadaan menunjukkan corak serangan secara langsung dan disengajakan.

Laporan itu menyatakan sekurang-kurangnya 20,179 kanak-kanak terbunuh dan 44,143 lagi cedera di Gaza antara 7 Oktober 2023 hingga 7 Oktober 2025 akibat konflik tersebut.

Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 5,031 kanak-kanak berusia bawah lima tahun terbunuh, termasuk 1,029 bayi bawah setahun dan kira-kira 420 bayi baru lahir.

Suruhanjaya itu turut mendapati pasukan keselamatan Israel didakwa menyasarkan kanak-kanak Palestin melalui dua bentuk utama, iaitu tembakan terus ke arah organ penting menggunakan senjata berketepatan seperti dron quadcopter dan penembak tepat, serta penggunaan senjata berimpak tinggi di kawasan kediaman, sekolah dan kem penempatan sementara.

Menurut laporan itu, serangan berkenaan menyebabkan kematian, kecederaan kekal, trauma psikologi, kehilangan anggota badan, krisis anak yatim serta kemusnahan akses kepada pendidikan dan rawatan kesihatan.

Suruhanjaya berkenaan turut menyatakan serangan terhadap hospital, termasuk kemudahan yang memberi rawatan kepada kanak-kanak dan bayi baru lahir, telah melemahkan akses kepada rawatan penting serta memberi kesan jangka panjang kepada kelangsungan hidup kanak-kanak Palestin.

Laporan itu juga mendakwa kanak-kanak Palestin dari Gaza dan Tebing Barat, khususnya remaja lelaki, ditangkap, diseksa dan dilayan secara buruk di penjara serta pusat tahanan Israel.

Suruhanjaya itu mengesyorkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Gaza, menamatkan penggunaan senjata berimpak tinggi di kawasan kediaman, menghentikan penggunaan dron quadcopter dan penembak tepat terhadap orang awam, serta memastikan akauntabiliti terhadap pihak yang bertanggungjawab atas jenayah terhadap kanak-kanak Palestin.

Ia turut menggesa negara anggota menghentikan pemindahan senjata dan peralatan ketenteraan kepada Israel sekiranya terdapat sebab untuk mengesyaki kelengkapan itu digunakan dalam operasi yang melibatkan genosid, jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply