Home Pertahanan dan Keselamatan Tunku Osman Jewa dipilih sebagai nama kapal ke-3 LMSB2

Tunku Osman Jewa dipilih sebagai nama kapal ke-3 LMSB2

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 25 JUN – Nama anak watan pertama menjawat pangkat tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tunku Osman Jewa dipilih sebagai nama untuk kapal ketiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2).

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu penyataan jawapan lisan di Parlimen.

Beliau menjawab persoalan yang dikemukakan oleh wakil Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang bertanyakan status terkini pembinaan LMSB2 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut Menteri Pertahanan, kemajuan kemajuan projek pembinaan tiga buah kapal LMSB2 mengatasi sasaran asal iaitu 22 hari lebih awal daripada perancangan.

“Pembinaan tiga buah kapal LMSB2 oleh syarikat STM Savunma dari Republik Türkiye sedang berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Berdasarkan kemajuan kerja setakat 31 Mei 2026, kemajuan projek pembinaan tiga buah kapal LMS Batch 2 berada pada 53.3%, mengatasi sasaran asal 51.4%, atau 22 hari lebih awal daripada perancangan, dengan varians +1.9%,” jelas Menteri Pertahanan dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen.

Beliau menambah, ketiga-tiga kapal akan diserahkan secara berperingkat pada tahun 2027.

Kapal LMSB2 yang pertama, TUNKU ABDUL JALIL yang telah dilancarkan pada 24 Mei lalu akan diserahkan pada September 2027.

Sementara itu, kapal kedua,  RAJA LAUT akan diserahkan pada Oktober 2027 manakala TUNKU OSMAN JEWA pada November 2027.

”Selepas proses penyerahan, setiap kapal akan melalui ujian penerimaan dan penilaian operasi sebelum ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM secara berperingkat,” jelas Menteri Pertahanan.

Tunku Osman Jewa: Anak watan pertama mengetuai ATM

Dalam sejarah ATM, anak kelahiran Kedah, Jeneral Tan Sri Sir Haji Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa (Bersara) merupakan anak Melayu pertama yang menjawat jawatan Panglima Angkatan Tentera selepas menggantikan Leftenan Jeneral Tan Sri Sir Rodney Moore pada 1 Januari 1964.

Tunku Osman mempunyai latar belakang sebagai salah seorang operatif Force 136. Selain itu, beliau turut penganjur kepada Kumpulan Gerila Melayu apabila Pasukan 136 dibubarkan selepas penyerahan Jepun.

Tunku Osman menyertai Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) pada 1 Februari 1947. – airtimes.my

Leave a Reply